Ahad, 17 March 2024 | 1:16pm
Lokasi kejadian kes seorang bayi dikelar ibu kandung di Taman Cahaya Masai. - NSTP/Omar Ahmad
Lokasi kejadian kes seorang bayi dikelar ibu kandung di Taman Cahaya Masai. - NSTP/Omar Ahmad

Ibu kelar anak berubah sikap jadi pendiam

PASIR GUDANG: Wanita yang mengelar anak lelakinya berusia 18 bulan di Taman Cahaya Masai di sini semalam dilihat berubah sikap sejak beberapa hari lalu.

Ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali memberitahu, wanita berusia 32 tahun itu dilihat lebih pendiam dan perubahan sikap itu disedari suami suspek beberapa hari sebelum kejadian.

"Kami terkejut dengan kejadian itu kerana hubungan mereka suami isteri normal, baik-baik sahaja. Setahu saya si isteri tak sakit.

"Mereka kerap pulang ke kampung halaman, hampir setiap minggu. Kali terakhir mereka pulang pada awal Ramadan, sempat menyambut puasa bersama.

"Cuma suaminya ada beritahu isterinya menjadi pendiam beberapa hari sebelum kejadian, kurang bercakap.

"Si suami ada juga beritahu, dia risau nak tinggalkan isterinya untuk pergi kerja kerana malam sebelum kejadian isterinya dilihat hanya diam," katanya ketika ditemui di kediaman di sini, hari ini.

Menurut ahli keluarga, mangsa yang juga anak tunggal pasangan itu seorang kanak-kanak yang aktif.

"Mangsa baru pandai berjalan dan bercakap, memang tengah aktif bermain bersama sepupunya, terutama apabila mereka pulang ke kampung di Segamat," katanya yang memaklumkan jenazah kanak-kanak itu akan dikebumikan di kampung ibunya di Felda Redong, Segamat.

Keluarga kedua-dua pihak memaklumkan pasangan itu sudah lama kenal sejak di bangku sekolah sebelum mendirikan rumah tangga pada Disember 2021.

Terdahulu media melaporkan seorang wanita disyaki mengelar leher anak lelakinya sebelum menghantar gambar mangsa yang berlumuran darah kepada suami melalui kiriman WhatsApp, semalam.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, berkata pihaknya menerima laporan kira-kira jam 1.30 tengah hari berhubung kes seorang bayi berusia setahun enam bulan maut dipercayai dikelar ibu kandung di sebuah kawasan perumahan dekat Pasir Gudang.

Susulan itu, beliau berkata, suspek warga tempatan berusia 32 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X