Ahad, 17 March 2024 | 11:59am
Kebun sayur haram yang diusahakan pendatang asing di Alor Gajah, Melaka. - Foto ihsan Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia
Kebun sayur haram yang diusahakan pendatang asing di Alor Gajah, Melaka. - Foto ihsan Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia

Warga Bangladesh, Indonesia, Rohingya kuasai industri sayur

JOHOR BAHRU: Rantaian perbekalan sayur-sayuran di Malaysia didakwa mula dikuasai pendatang asing yang turut dipercayai makin memperluaskan kebun diusahakan mereka secara haram dengan saiz keseluruhan kini dikatakan hampir 1,000 hektar.

Kegiatan berkenaan yang dikatakan mula aktif sejak lima tahun lalu didedahkan Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia yang membuat pemantauan dan risikan melalui ahlinya di seluruh negara.

Pengerusinya, Lim Ser Kwee, mendakwa pendatang asing warga Indonesia, Bangladesh dan etnik Rohingya kini membina rangkaian, dari peringkat kebun sayur, pengedaran hinggalah jualan di lot niaga beberapa pasar borong utama di Semenanjung.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan pendapatan lebih 2,000 ahli persatuan berkenaan makin terjejas kerana kian banyak sayuran ditanam dan dibekalkan oleh pendatang asing di pasaran tempatan.

"Pendatang asing bukan sahaja mengusahakan kebun sayur, malah turut menguasai rantaian pembekalan, termasuk logistik atau pengangkutan, selain aktif bekalkan sayur ke pasar borong dan pasar basah seluruh negara

"Malah, ada dalam kalangan mereka turut mengambil alih lot niaga sayuran di pasar borang utama, selain makin ramai juga pendatang asing berniaga di luar bangunan pasar," katanya kepada BH.

Lim Ser Kwee
Lim Ser Kwee

Katanya, perkara itu adalah rahsia terbuka di Pasar Borong Kuala Lumpur; Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Johor Bahru.

Menerusi maklumat ahli persatuan, Ser Kwee berkata, hasil tinjauan menganggarkan kebun dan ladang sayur yang diusahakan secara haram di Semenanjung membabitkan lebih 1,000 warga asing.

"Ini berlaku di seluruh Semenanjung, tapi paling banyak di beberapa negeri seperti Selangor, Johor, Melaka, Pulau Pinang dan Pahang, terutama Cameron Highlands. Anggaran keluasan keseluruhan kebun haram di setiap negeri antara 50 hingga 100 hektar.

"Kebanyakan kawasan diusahakan pendatang asing ini terletak di pedalaman, terutama dalam ladang sawit dan hutan yang diceroboh. Kebun mereka sukar diakses orang awam, termasuk kakitangan Jabatan Pertanian.

Ceroboh tanah kerajaan

Kebun sayur haram yang dikatakan diusahakan pendatang asing di Seberang Prai, Pulai Pinang. - Foto Persekutuan Penanam Sayur
Kebun sayur haram yang dikatakan diusahakan pendatang asing di Seberang Prai, Pulai Pinang. - Foto Persekutuan Penanam Sayur

"Mereka bukan sahaja menceroboh tanah kerajaan, malah mampu menyewa tanah milik pelbagai pihak termasuk individu untuk menanam sayur secara haram," katanya berharap isu itu dibawa ke mesyuarat Majlis Tindakan Negara Bagi Kos Sara Hidup (NACCOL).

Katanya, isu ini amat penting dibincangkan NACCOL yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain isu bekalan sayur dijangka terjejas susulan krisis tenaga kerja dan harganya dijangka meningkat sehingga 25 peratus bulan hadapan.

"Jika isu kebun sayur haram tidak ditangani dengan serius, dibimbangi ia meletakkan sektor pertanian negara dalam risiko dan jejas pekebun tempatan yang berdaftar. Ia juga akan memperjudikan kesihatan dan keselamatan sumber makanan kita," katanya


Isu ceroboh tanah perlu diatasi dengan serius

Ketika kita belum mampu menangani sepenuhnya isu warga asing terbabit dalam perniagaan, menyusul lagi isu membimbangkan mengenai rantaian perbekalan sayur-sayuran di Malaysia yang didakwa mula dikuasai pendatang.

Jika sebelum ini warga asing hanya digajikan di kebun sayur, dari semasa ke semasa mereka berubah pula menjadi pengusaha dan kemudian membina rangkaian, dari peringkat kebun, pengedaran hinggalah jualan di lot niaga pasar borong tertentu di Semenanjung.

Pendatang asing didedah mengusahakan kebun secara haram bukannya perkara baharu kerana pernah mendapat liputan media tempatan, termasuk BH kira-kira lima tahun lalu berkait pendatang menceroboh tanah kerajaan di Bukit Beruntung, Hulu Selangor.

Pada September 2019, akhbar ini melaporkan sekumpulan warga asing menceroboh tanah kerajaan dan tanah persendirian di Bukit Beruntung sebelum 26 pekebun, termasuk 23 dari Bangladesh ditahan Jabatan Imigresen.

Kawasan berkenaan dipercayai diteroka secara haram sejak 10 tahun sebelum itu.

Jun 2023, sekumpulan warga asing dikesan menjadikan tanah kira-kira 1. 4 hektar di Pulau Meranti, Puchong, juga di Selangor sebagai petempatan haram dilengkapi surau dan kemudahan, selain menanam pelbagai sayuran kontan untuk dijual kepada pemborong.

Difahamkan, warga Indonesia dan Bangladesh di kawasan terbabit menjadikan lokasi di bawah grid pencawang elektrik itu sebagai kebun sayur dengan menyewa tanah daripada penduduk tempatan pada kadar RM600 sebulan.

Kebun sayur haram diusahakan pendatang asing di Alor Gajah, Melaka. - Foto ihsan Persekutuan Penanam Sayur
Kebun sayur haram diusahakan pendatang asing di Alor Gajah, Melaka. - Foto ihsan Persekutuan Penanam Sayur

Kes demi kes dilaporkan media membabitkan pendatang asing menceroboh tanah secara haram atau menyewa tanah milik rakyat tempatan untuk berkebun secara komersial, namun isu ini seakan-akan tidak berkesudahan.

Andai tidak ditangani dengan serius dan andai warga asing memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sektor pertanian dibenar menyewa tanah tanpa sekatan, dikhuatiri sektor sumber bekalan makanan rakyat Malaysia akan dikuasai warga asing sepenuhnya.

Ia tidak mustahil kerana makin ramai peniaga dan pekerja di kebanyakan pasar borong di negara kita juga terdiri warga asing dari Bangladesh serta etnik Rohingya, malah mereka juga dipercayai turut mendapat bekalan daripada pekebun sayur warga asing.

Dominasi warga asing di sesetengah pasar borong menyaksikan mereka berkuasa sepenuhnya dalam mengawal serta menentukan harga sayur yang ingin dijual, sekali gus menindas pekebun dan peruncit tempatan.


Ada dalam kalangan pendatang asing yang mengusahakan kebun sayur secara haram, memang mempunyai permit untuk bekerja di Malaysia, tetapi mereka sebenarnya lari daripada majikan.

Ada juga yang memang berada di Malaysia secara haram, terang-terangan adalah pendatang asing tanpa izin (PATI).

Kebun sayur haram yang diusahakan pendatang asing di Seberang Prai, Pulau Pinang. - Foto ihsan Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia
Kebun sayur haram yang diusahakan pendatang asing di Seberang Prai, Pulau Pinang. - Foto ihsan Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia

Mendedahkan demikian, Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee, berkata lari daripada majikan asal seperti termaktub dalam permit kerja mungkin antara faktor sektor pertanian sayuran negara kini kekurangan tenaga buruh yang kritikal.

"Warga asing tidak mahu lagi bekerja makan gaji, sebaliknya nak jadi bos besar, dapat untung berkali ganda, tapi membahayakan kesihatan pengguna kerana kebun haram tak dapat dipantau.

"Berbeza dengan tanaman pertanian khususnya sayur diusahakan pengusaha berdaftar yang dipantau Jabatan Pertanian secara berkala bagi memastikan pengusaha patuh had penggunaan bahan kimia, termasuk baja dan racun perosak.

"Ia supaya sayur yang dikeluarkan tidak memudaratkan kesihatan pengguna," katanya menambah, sayuran ditanam, dikeluar dan dipasarkan pendatang asing tidak dipantau mahupun mematuhi Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) untuk jaminan kualiti.

Justeru, beliau berkata, sayuran dari kebun diusahakan pendatang asing hanya dapat dipasarkan di negara ini kerana untuk masuk pasaran luar, terutama Singapura, perlu patuh syarat ketat, termasuk pensijilan myGAP.

Penggunaan racun yang tinggi pada bahan makanan termasuk sayur-sayuran boleh memberi kesan kesihatan jangka panjang kepada pengguna. - Foto hiasan
Penggunaan racun yang tinggi pada bahan makanan termasuk sayur-sayuran boleh memberi kesan kesihatan jangka panjang kepada pengguna. - Foto hiasan

Berita Harian X