Ahad, 17 March 2024 | 9:36am

Selesaikan isu pekerja asing bersikap seperti 'Belanda dapat tanah'

BELALANG rasa pepatah 'dibenarkan duduk di serambi, hendak bermaharajalela di tengah rumah' tepat gambarkan rantaian perbekalan sayur-sayuran kita mula dikuasai pendatang asing memperluaskan kebun diusahakan secara haram dengan saiz keseluruhan seperti dakwaan persatuan pekebun sayur hampir 1,000 hektar.

Maknanya, warga Indonesia, Bangladesh dan etnik Rohingya ini sudah mendominasi dari peringkat kebun sayur, logistik dan pengangkutan hingga pengedaran serta jualan di pasar borong.

Rantaian perbekalan sayur-sayuran kita mula dikuasai pendatang asing memperluaskan kebun diusahakan secara haram dengan saiz keseluruhan seperti dakwaan persatuan pekebun sayur hampir 1,000 hektar. - Foto hiasan
Rantaian perbekalan sayur-sayuran kita mula dikuasai pendatang asing memperluaskan kebun diusahakan secara haram dengan saiz keseluruhan seperti dakwaan persatuan pekebun sayur hampir 1,000 hektar. - Foto hiasan

Inilah bahana apabila warga asing asalnya masuk bekerja sebagai buruh kasar, tetapi melompat ke segmen ekonomi termasuk pertanian dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang rata-ratanya diusahakan Bumiputera juga. Cuma Belalang hairan juga persatuan sama mengeluh apabila kerajaan batalkan kuota pekerja asing yang ada 2.1 juta orang di negara ini kerana tidakkah mereka sendiri terkena getah akibat kebergantungan yang kritikal ini.

Lagi satu Belalang musykil bagaimana kisah 'Belanda dapat tanah' ini boleh dibiarkan berleluasa sama ada gagal ditangani pihak berkuasa atau sikap rakyat sendiri sanggup bersekongkol atau kedua-dua sekali? Belalang minta kerajaan terutama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berserta polis, imigresen serta pihak berkuasa tempatan bekerjasama tangani isu ini termasuk menggunakan teknologi terkini kerana ia membabitkan periuk nasi rakyat dan masa depan negara.


Anggota pentadbiran usah 'bergaduh' depan periuk nasi

Sebut pasal periuk nasi, Belalang mahu tegur kerajaan mengenai isu kekurangan beras tempatan di pasaran. Timbalan Perdana Menteri kata ia masalah terpencil kerana hanya babitkan beberapa kawasan, Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Negara Bagi Kos Sara Hidup (NACCOL) pula balas tinjauan lengkap dengan video pasukan penggerak MADANI ke 30 lokasi mendapati beras tempatan tiada di pasaran tetapi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pula jelaskan edaran Beras Putih Tempatan (BPT) meningkat 3.9 peratus.

Ini bukan isu kecil tetapi membabitkan makanan ruji negara, apatah lagi diakui sendiri Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO) bahawa masalah ini sudah hampir setahun tidak dapat diatasi hingga boleh ada perbezaan pandangan. Sekarang ini sudah masuk bulan puasa hingga beras sangat diperlukan sama ada peniaga bazar Ramadan atau isi rumah untuk menyediakan juadah berbuka serta bersahur.

Beras Putih Import akan diturunkan harga antara RM2 hingga RM3 berkuat kuasa esok. - Foto fail NSTP
Beras Putih Import akan diturunkan harga antara RM2 hingga RM3 berkuat kuasa esok. - Foto fail NSTP

Belalang minta bukan saja isu komunikasi sebegini diselaraskan, malah lebih penting masalah kekurangan beras ditangani sebaiknya secara tersusun kerana rakyat juga akan menerima kesan akhir. Belalang yakin isu beras boleh diselesaikan jika semua sepakat dan sederap kerana kerajaan mengakui stok penimbal beras negara mencukupi, tinggal lagi tindakan strategik dan pantas termasuk penguatkuasaan undang-undang.

Berita Harian X