Sabtu, 16 March 2024 | 11:08pm
Syed Abu Hussin Hafiz
Syed Abu Hussin Hafiz

'Dakwaan beberapa syarikat terbabit kartel beras dibawa ke mesyuarat NACCOL'

KEPALA BATAS: Terdapat kartel beras putih tempatan membabitkan empat hingga lima syarikat di negara ini yang dipercayai bertindak mengawal jual beli padi dan makanan ruji itu sehingga berlaku kekurangan bekalan di pasaran serta peningkatan harga.

Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berkata maklumat itu diperoleh hasil daripada libat urus yang dijalankan bersama pesawah, pengilang, pemborong, peruncit dan pengguna.

Justeru, Syed Abu Hussin Hafiz berkata, beliau akan membentangkan perkara berkenaan pada mesyuarat NACCOL 20 Mac ini supaya kerajaan boleh mengambil tindakan serius terhadap syarikat terbabit.

"Syarikat-syarikat terbabit mengawal hingga 80 peratus pasaran beras putih tempatan. Kartel itu membeli padi pada harga tinggi iaitu hingga RM1,850 bagi setiap tan padi kemudian menaikkan harga beras.

"Malah, ada dalam kalangan syarikat itu menjual beras tempatan di dalam bungkusan beras import, tindakan kartel ini yang menyebabkan berlakunya ekosistem harga padi serta beras yang tidak stabil," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Penggerak MADANI Zon Utara di Penang Golf Resort di sini malam ini.

Syed Abu Hussin Hafiz yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, dapatan libat urus yang dijalankan juga menunjukkan kartel itu sedang mempengaruhi pesawah dengan menawarkan harga padi lebih mahal dan pada masa sama menekan pengguna dengan harga beras yang meningkat.

Beliau berkata, cadangan pemberian subsidi sebanyak RM200 kepada pesawah bagi setiap tan padi yang dijual kepada pengilang supaya beras putih tempatan boleh dijual dengan harga RM30 bagi setiap bungkusan 10 kilogram, juga akan dibentangkan pada mesyuarat itu. - BERNAMA

Berita Harian X