Sabtu, 16 March 2024 | 9:59pm
Orang ramai membeli juadah untuk berbuka puasa dalam tinjauan di bazar Ramadan Jalan Raja Alang. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS
Orang ramai membeli juadah untuk berbuka puasa dalam tinjauan di bazar Ramadan Jalan Raja Alang. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS

22 juta umat Islam belanja RM5.4 bilion di bazar Ramadan

TANAH MERAH: Sebanyak 22 juta umat Islam didapati berbelanja hampir RM5.4 bilion di bazar Ramadan di seluruh negara berdasarkan kajian Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, beliau mengingatkan kepada umat Islam supaya bersederhana ketika berbelanja pada bulan puasa dan mengelak pembaziran.

"Berbelanja itu pastinya boleh, tetapi sentiasa ingat, jangan membazir … ia bertentangan dengan hakikat Ramadan yang seharusnya menjadi bulan mendidik umat Islam supaya bersederhana. Kita dapati bahawa secara purata 850 kilogram (makanan) dibazirkan setiap individu," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Mukim Batang Merbau di sini hari ini.

"Saya tahu di Kelantan, bulan Ramadan bagaikan pesta makanan, tambahan pula negeri ini sangat terkenal dengan makanan yang sedap-sedap dan pelbagai kuih-muih.

"Puasa, puasa juga tetapi jangan sampai berlakunya pembaziran serta berbelanja melebihi keperluan dan mengikut nafsu semata-mata," katanya.

Beliau turut menasihati umat Islam supaya bulan Ramadan dijadikan tempoh latihan untuk mendisiplinkan diri dengan berkongsi rasa kesusahan terhadap golongan yang memerlukan dan menyemai sikap berjimat cermat.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyerahkan sumbangan berjumlah RM293,300 untuk 475 masjid dan madrasah di kawasan Kesedar bagi mengimarahkan institusi itu. - BERNAMA

Berita Harian X