Sabtu, 16 March 2024 | 4:19pm
Tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang tular di media sosial apabila menggunakan bahan letupan bagi tujuan menangkap ikan, termasuk kelah di kawasan pertemuan Kuala Sungai Mangga dan Sungai Senga, Hutan Simpan Temengor, Hulu Perak. - Foto tangkap layar media sosial
Tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang tular di media sosial apabila menggunakan bahan letupan bagi tujuan menangkap ikan, termasuk kelah di kawasan pertemuan Kuala Sungai Mangga dan Sungai Senga, Hutan Simpan Temengor, Hulu Perak. - Foto tangkap layar media sosial

Bom ikan: Jabatan Perhutanan Perak beku permit masuk hutan simpan kekal

IPOH: Jabatan Perhutanan Perak mengeluarkan notis arahan pembekuan kelulusan permit memasuki empat hutan simpan kekal (HSK) di daerah Hulu Perak bagi tujuan rekreasi berkuat kuasa serta-merta.

Pengarahnya, Datuk Basri Abdul Manaf, berkata tempoh pembekuan itu selama tiga bulan bermula semalam hingga 15 Jun depan itu bagi tujuan penguatkuasaan dan kawalan terhadap sumber hutan.

Beliau berkata, hutan yang terbabit adalah Hutan Simpan Amanjaya, Hutan Simpan Banding, Hutan Simpan Temengor dan Hutan Simpan Gerik.

"Semua pemberian Permit Memasuki Hutan Simpan Kekal bagi tujuan rekreasi seperti aktiviti pacuan empat roda, 'motorcross', basikal lasak, memancing dan lain-lain lagi kita bekukan sejak semalam.

"Sebarang ketidakpatuhan terhadap arahan ini adalah di atas risiko sendiri dan boleh disabitkan mengikut Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang tular di media sosial apabila menggunakan bahan letupan bagi tujuan menangkap ikan termasuk kelah iaitu spesies ikan dilindungi di kawasan pertemuan Kuala Sungai Mangga dan Sungai Senga, Hutan Simpan Temengor, Hulu Perak.

Perbuatan itu didakwa dilakukan sekumpulan individu yang sedang melakukan aktiviti berkaitan pacuan empat roda di kawasan hutan simpan itu hingga membangkitkan kemarahan orang ramai.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik hari ini.

"Saya berasa amat sedih dan kecewa atas sikap dan kejadian yang tidak boleh diterima ini kerana ia merosakkan ekosistem ikan kelah yang juga spesies dilindungi.

"Kita menentang sekeras-kerasnya aktiviti seumpama ini dan menjadi keutamaan saya untuk kekang perkara seperti ini daripada berulang," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya. - BERNAMA

Berita Harian X