Sabtu, 16 March 2024 | 3:31pm
Anggota penguat kuasa DBKL melakukan pemeriksaan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan di tiga bazar Ramadan di Seputeh membabitkan aktiviti penjualan pelbagai jenis makanan dan minuman yang dijalankan. - Foto ihsan DBKL
Anggota penguat kuasa DBKL melakukan pemeriksaan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan di tiga bazar Ramadan di Seputeh membabitkan aktiviti penjualan pelbagai jenis makanan dan minuman yang dijalankan. - Foto ihsan DBKL

Enam peniaga bazar Ramadan dikompaun gaji pekerja asing

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan notis kompaun terhadap enam peniaga bazar Ramadan yang didapati menggajikan pekerja warga asing dalam operasi pemantauan di sekitar ibu negara, semalam.

DBKL berkata, operasi itu dijalankan di sekitar Jalan Radin, Jalan Desa Jaya dan Jalan Impian Indah, Seputeh di sini.

"Anggota penguat kuasa DBKL melakukan pemeriksaan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan di tiga bazar Ramadan membabitkan aktiviti penjualan pelbagai jenis makanan dan minuman yang dijalankan.

"Sebanyak enam notis kompaun dikeluarkan kepada pemilik lesen kerana melanggar syarat dengan melantik pembantu gerai warga asing," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

DBKL berkata, tindakan diambil mengikut Undang-undang Kecil (UUK) 14, Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016.

Menurutnya, operasi pemantauan dijalankan bagi meninjau tahap kebersihan, pengendali makanan serta kelancaran aliran trafik di sekitar tapak bazar Ramadan.

Katanya, pemantauan itu dijalankan membabitkan aktiviti penjualan makanan dan minuman pada tahap kebersihan yang optimum.

"DBKL mengingatkan kepada semua pemegang lesen perniagaan supaya mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

"Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa di 11 kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya.

Berita Harian X