Sabtu, 16 March 2024 | 11:23am
Muhammad Hafizul Naim Jamil (kiri) dan Muhammad Nurul Husni Zamir Fahmi Moo Abdul Razzaq.
Muhammad Hafizul Naim Jamil (kiri) dan Muhammad Nurul Husni Zamir Fahmi Moo Abdul Razzaq.

'Ayah sudah meninggal, mak pula tak kerja'

KUALA LUMPUR: "Ayah sudah meninggal, mak pula tak kerja".

Demikian keluhan Muhammad Hafizul Naim Jamil, 17, pelajar Akademi Tahfiz Al-Hidayah yang menyambut awal Ramadan bersama rakan-rakan.

"Sejak belajar di sini pada 2022, setiap tahun saya berpuasa bersama rakan-rakan. Ada juga masa puasa dengan keluarga di kampung, tapi demi pendidikan, saya banyak sambut puasa dengan rakan-rakan di sini," katanya.

Mengakui rindu bersahur dan berbuka dengan ibu serta adik beradik di rumah, dia bersyukur dan tetap gembira menjalani ibadah puasa bersama rakan dan penjaga di rumah pertubuhan berkenaan yang dianggap seperti keluarga sendiri.

"Sambutan puasa kami meriah sebab setiap hari akan berbuka bersama," katanya yang menyertai 39 warga Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah pada majlis iftar Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini petang semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WTCKL, Mohd Yusri Mohd Junos menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak yatim dan asnaf dari Rumah Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah di WTCKL malam tadi. - NSTP/ERCY GRACELLA AJOS
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WTCKL, Mohd Yusri Mohd Junos menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak yatim dan asnaf dari Rumah Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah di WTCKL malam tadi. - NSTP/ERCY GRACELLA AJOS

Muhammad Hafizul Naim yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, turut bersyukur menerima sumbangan duit raya daripada kakitangan WTCKL dan akan menggunakannya sebaik mungkin.

"Saya akan guna untuk beli barangan keperluan sekolah, baju dan lain-lain keperluan untuk sambut Aidilfitri," kata anak ketujuh daripada lapan beradik ini yang bercita-cita menjadi akauntan dan menanam azam membantu ibu.

Mengenai persiapan menduduki SPM dan sasaran keputusan, Muhammad Hafizul memberitahu, dia antara lain mengikuti kelas tambahan untuk mencapai sasaran memperoleh semua 'A'.

"Saya sekarang ikut kelas tambahan, dalam talian atau bersemuka. Insya-Allah dapat semua A dan moga impian jadi akauntan tercapai. Syukur ada rakan-rakan di sini banyak membantu, kalau tak faham, kami saling menolong," katanya.

Seorang lagi pelajar akademi berkenaan, Muhammad Nurul Husni Zamir Fahmi Moo Abdul Razzaq, 11, juga sangat gembira dapat berbuka puasa bersama pihak WTCKL dan rakan-rakan.

"Alhamdullillah dapat keluar dengan rakan-rakan dan guru-guru, selain dapat juga duit raya untuk beli keperluan harian. Terima kasih WTCKL kerana menjemput kami," katanya.

Berita Harian X