Jumaat, 15 March 2024 | 9:57pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar (dua, kiri) menyampaikan ucapan sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Nour, di daerah Horn Hamburg, Hamburg, Jerman hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar (dua, kiri) menyampaikan ucapan sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Nour, di daerah Horn Hamburg, Hamburg, Jerman hari ini. - Foto BERNAMA

PM solat Jumaat di Masjid Al Nour Hamburg

HAMBURG: Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Nour di daerah Horn Hamburg di sini, hari ini.

Perdana Menteri tiba di masjid pada 11.55 pagi dan disambut oleh Naib Pengerusi Majlis Muslim Jerman, Daniel Abdin yang juga pengerusi masjid terbabit.

Beliau juga disambut Imam Masjid Al Nour, Sheikh Samir El-Rajab.

Anwar diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Duta Besar Malaysia ke Jerman, Datin Paduka Dr Adina Kamarudin dan anggota delegasi Malaysia yang lain.

Daniel berkata mereka berbesar hati dengan kunjungan Perdana menteri dan ia menjadi lebih bermakna berikutan lawatan itu diadakan pada Jumaat pertama Ramadan.

Anwar dalam ucapan ringkas kepada jemaah, memberitahu mereka mengenai pertemuannya dengan Canselor Jerman Olaf Scholz yang berlangsung baru-baru ini, dan bagaimana beliau menyampaikan kebimbangan masyarakat Islam mengenai pelbagai isu selain turut meluahkan kegembiraannya kerana makluman itu diterima.

Beliau turut menyentuh mengenai kepentingan umat Islam menjaga imej mereka.

"Bentuk dakwah yang paling berkesan ialah menunjukkan contoh iman atau 'akhlak' yang baik untuk disaksikan orang lain," katanya.

Masjid Al Nour ialah bekas gereja Evangelical-Lutheran, yang ditukar menjadi masjid pada 2019.

Ia difahamkan sebagai masjid Arab terbesar di utara Jerman dan boleh menampung sehingga 1,500 jemaah. Hamburg mempunyai kira-kira 140,000 penganut Islam.

Anwar menghulurkan beberapa sumbangan kepada masjid itu sempena Ramadan termasuk 11 naskhah al-Quran, dengan salah satunya edisi khas, manakala selebihnya terjemahan bahasa Inggeris.

Perdana Menteri yang sedang dalam lawatan rasmi enam hari ke Jerman, sebelum ini meluangkan masa bertemu masyarakat Islam di Berlin, selepas menunaikan solat Isyak dan tarawih di Masjid Sehitlik di bandar itu.

Di Berlin, Anwar juga melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier dan bertemu dengan Scholz.

Beliau juga mengadakan pertemuan dengan ketua industri dan perniagaan utama Jerman serta menyampaikan ucap tama pada Hari Masa Depan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tahunan negara itu.

Lewat petang tadi waktu tempatan, di Hamburg, beliau ditemubual agensi media Jerman Deutsche Presse-Agentur (DPA) serta mengadakan pertemuan perniagaan dengan gergasi semikonduktor Belanda Nexperia yang mempunyai kilang di Hamburg.

Seterusnya malam ini (waktu tempatan), Anwar dijadual menyampaikan ucapan istiadat di Majlis Makan Malam Persahabatan Asia Timur ke-101

(Ostasiatisches Liebesmahl) yang dianjurkan oleh Persatuan Perniagaan Asia-Pasifik Jerman yang juga dikenali sebagai OAV di Dewan Bandaraya Hamburg.

Beliau akan kembali ke Malaysia selepas program itu.

Berita Harian X