Jumaat, 15 March 2024 | 8:21pm

MBPJ wajibkan peniaga bazar Ramadan sedia kod QR

PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperkenalkan Bazar Ramadan 'Digital & Clean' 2024 di 19 lokasi bazar Ramadan di sekitar daerah ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon berkata pihaknya juga memperkenalkan kaedah pembayaran tanpa tunai dan mewajibkan 953 pemegang permit bazar Ramadan 2024 melampirkan salinan Kod QR ketika melakukan permohonan.

"MBPJ tahun ini bekerjasama dengan pihak Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) - Platform Selangor dengan menyediakan kupon bernilai RM20 kepada pengunjung bazar Ramadan Petaling Jaya di empat lokasi terpilih.

"Pada hari ini sebanyak 550 kupon telah disediakan membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM11,000.00.

"Pihak MBPJ komited dalam memastikan 19 lokasi bazar Ramadan berada dalam keadaan bersih dan kondusif," katanya pada Program Lawatan Datuk Bandar Petaling Jaya ke Bazar Ramadan 2024 'Digital & Clean' di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr Ummi Kalthom Shamsudin; Ketua Jabatan CSR Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), Ahmad Azri Zainal Nor dan dan Timbalan Datuk Bandar, Aznan Hassan.

Mohamad Zahri berkata MBPJ turut menjalankan pemeriksaan kebersihan sebanyak tiga kali semakan di setiap lokasi bazar ramadan.

"Antara semakan yang dibuat adalah 'hand swab' ke atas peniaga bazar bertujuan mengenalpasti E-Coli.

"Berdasarkan rekod E-Coli pada tahun 2023, sebanyak 363 sampel telah diambil manakala keputusan positif adalah 82 kes," katanya.

Mohamad Zahri berkata sempena Ramadan 2024, MBPJ turut memperkenalkan program Bakul Rezeki.

"Seramai 59 peratus pemegang permit bazar telah bersetuju untuk berkongsi rezeki juadah melalui bakul rezeki.

"Program berkenaan selain daripada mengelakkan pembaziran, antaranya berkongsi rezeki dan menyantuni golongan yang kurang bernasib baik di bulan ramadan antaranya asnaf, fakir miskin dan penduduk setempat," katanya.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon (kiri) membantu seorang peniaga nasi ayam sambil seorang pelanggan membayar mengunakan kod QR bagi mengimbas kupon digital Rahmah MBPJ pada lawatan ‘Digital & Clean’ di Bazar Ramadan Kelana Jaya, hari ini. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon (kiri) membantu seorang peniaga nasi ayam sambil seorang pelanggan membayar mengunakan kod QR bagi mengimbas kupon digital Rahmah MBPJ pada lawatan ‘Digital & Clean’ di Bazar Ramadan Kelana Jaya, hari ini. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X