Jumaat, 15 March 2024 | 6:54pm
Pemilik gerai ‘Kuih Viral Bajet RM1’, Siti Maimunah Deraman (dua dari kanan) bersama anak menjual kuih di gerainya di Kampung Tanjong Baru dekat Pantai Cahaya Bulan, hari ini. - BERNAMA
Pemilik gerai ‘Kuih Viral Bajet RM1’, Siti Maimunah Deraman (dua dari kanan) bersama anak menjual kuih di gerainya di Kampung Tanjong Baru dekat Pantai Cahaya Bulan, hari ini. - BERNAMA

Jual kuih RM1 sambil bersedekah

KOTA BHARU: Setiap kali Ramadan, Siti Maimunah Deraman, 64, akan mula menjual lebih 20 jenis kuih-muih di Kampung Tanjong Baru dekat Pantai Cahaya Bulan di sini, pada harga RM1 sebekas.

Beliau berkata, gerai dikenali sebagai 'Kuih Viral Bajet RM1' itu menyediakan kuih-muih seperti onde-onde, puteri mandi, butir nangka dan kek batik dengan setiap bekas mengandungi antara tiga hingga lima biji bergantung kepada jenis kuih.

"Kuih-muih ini hasil air tangan saya sendiri, selain dibantu anak-anak dan dalam sehari saya mampu jual antara 300 hingga 500 bekas.

"Memang kami jual murah sebab niat saya ingin bantu orang kampung sambil bersedekah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ibu kepada lapan anak ini berkata, idea asal menjual kuih bajet berkenaan timbul pada Ramadan ketika negara dilanda wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ketika itu kami sekeluarga tidak tahu nak buat apa dan berasa bosan sehinggalah timbul idea menjual kuih pada bulan puasa… berniaga sambil beramal.

"Kami mula buat kuih-muih ini jam 12 tengah hari dan letak di gerai sekitar jam 3.30 petang. Alhamdulillah, sambutan orang ramai menggalakkan," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X