Jumaat, 15 March 2024 | 6:17pm
Foto kenangan Anis Nur Ezzati dan Allahyarham Konstabel Iskandar Zulkarnain Ibrahim ketika majlis perkahwinan mereka. - FOTO FB Anis Nur Ezzati.
Foto kenangan Anis Nur Ezzati dan Allahyarham Konstabel Iskandar Zulkarnain Ibrahim ketika majlis perkahwinan mereka. - FOTO FB Anis Nur Ezzati.

'Di hari Jumaat yang suci, kamu datang... ' - Anis bersyukur suami 'kembali' selepas hilang 9 hari

SIBU: Anis Nur Ezzati, isteri Konstabel Iskandar Zulkarnain Ibrahim, bersyukur Allahyarham suaminya telah ditemukan selepas sembilan hari operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam di Batang Baleh di Kapit.

Dalam satu hantaran sayu di laman Facebook hari ini, Anis mengungkapkan, suaminya itu datang menemuinya pada hari Jumaat yang suci di bulan yang mulia, Ramadan.

Dia menyifatkan jasad suaminya, 28, cantik sempurna dan putih ibarat kain putih serta tiada sedikit pun cela.

"Sungguh aku cemburu dengan pemergianmu,"catatnya.

Berterima kasih kepada Iskandar yang menjadi suami yang baik, Anis reda dan ikhlas dengan pemergian suaminya dan yakin syurga adalah tempat untuk Allahyarham.

"Sampai masa aku juga akan menyusul," tulisnya bersama doa agar roh suaminya tenang dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang soleh di sisi Allah SWT.

Dalam hantaran yang diiringi surah al-Fatihah, Anis menulis, arwah akan tetap menjadi insan paling dia sayang dalam hidupnya dan yakin tiada siapa dapat menggantikan tempat Iskandar Zulkarnain.

Netizen pelbagai kaum dan agama, terutama di Sarawak yang mengikuti perkembangan operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam itu menyampaikan ucapan takziah kepada Anis dan keluarga.

Mayat Iskandar Zulkarnain ditemukan lengkap berpakaian polis di kawasan Seputin, Sungai Batang Rajang, kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian, jam 11.30 pagi tadi.

Kejadian 7 Mac lalu turut meragut nyawa seorang rakan setugasnya, Sarjan Jonathan Lambet, selain dua orang awam, Jack Balan, 44, dan Amerson John Nain, 47.

Seorang lagi orang awam, Moses Ngui, 47, berjaya diselamatkan pada hari kejadian. – BERNAMA

Berita Harian X