Jumaat, 15 March 2024 | 5:53pm

Jenazah Iskandar tak dibawa pulang ke Kelantan, keluarga setuju kebumi di Sibu

KUCHING: Jenazah Konstabel Iskandar Zulkarnain Ibrahim, yang ditemukan maut pagi tadi selepas sembilan hari hilang apabila bot dinaiki karam di Sungai Batang Baleh, Kapit, 7 Mac lalu, dijangka tidak dibawa pulang ke kampung halamannya di Kelantan.

Hasil perbincangan polis dengan ibu, bapa dan isteri Iskandar, 28, keputusan awal mereka adalah mengebumikan Allahyarham di Sibu.

Berikutan itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, berkata jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kemuyang di Sibu.

"Polis Kontinjen Sarawak bersedih dengan pemergian Iskandar serta seorang lagi anggota, Sarjan Jonathan Lambet yang komited dan berintegriti dalam menjalankan tugas.

"Kami amat sedih atas kehilangan dua anggota sekali gus dalam insisen bot karam ketika mengiringi bahan letupan bagi membina projek jalan akses ke Empangan Hidro Elektrik Baleh.

"Saya mewakili warga polis Kontinjen Sarawak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah dan mendiang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mayat Allahyarham ditemukan dalam keadaan terapung oleh orang awam, kira-kira jam 11.30 pagi di kawasan Teluk Seputin, dalam anggaran jarak tujuh kilometer (km) di hilir lokasi bot karam.

Jenazah kini ditempatkan di Hospital Kapit sementara menunggu proses bedah siasat yang dijadualkan pada Isnin depan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang 7 Mac lalu, bot dinaiki Iskandar Zulkarnain dan empat lagi karam di Sungai Batang Baleh, berdekatan jeti SK Lepong Baleh.

Seorang berjaya diselamatkan oleh orang awam, empat lagi termasuk dua anggota polis hilang dihanyutkan arus deras.

Ketika kejadian, Iskandar Zulkarnain dan Jonathan dalam perjalanan dari Kuching ke Nanga Tulie, Kapit kerana mengiringi bahan letupan seberat 35 kilogram.

Dua daripada mayat mangsa ditemukan 9 Mac lalu, iaitu Jack Balan dan Jonathan, diikuti penemuan mayat ketiga, Amerson John Nain sehari kemudian.

Allahyarham Konstabel Iskandar Ibrahim dalam gambar kenangan dengan isteri, Anis Nur Ezzati - Foto FB Anis Nur Ezzati
Allahyarham Konstabel Iskandar Ibrahim dalam gambar kenangan dengan isteri, Anis Nur Ezzati - Foto FB Anis Nur Ezzati
Berita Harian X