Jumaat, 15 March 2024 | 4:49pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi pegawai Penjara tiba di mahkamah bagi sambung bicara kes penyelewangan dana RM2.3 bilion milik 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi pegawai Penjara tiba di mahkamah bagi sambung bicara kes penyelewangan dana RM2.3 bilion milik 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Jasmine Loo nafi buat rundingan dengan SPRM, pendakwa raya untuk jadi saksi

KUALA LUMPUR: Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo menafikan membuat rundingan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pendakwa raya untuk menjadi saksi dengan memberikan keterangan terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Loo yang memberikan keterangan sebagai saksi ke-50 pendakwaan turut menolak cadangan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa beliau membuat rundingan dengan pendakwa raya untuk menjadi saksi dalam kes 1MDB dan sebagai balasan, tuduhan jenayah terhadapnya digugurkan.

Peguam kanan itu mempersoalkan tindakan Loo yang menyerah diri kepada pihak berkuasa pada Julai tahun lalu, mengenai keterangan beliau yang dilihat mensasarkan Najib dan membuatkan dirinya kelihatan tidak bersalah.

Soalan Muhammad Shafee itu merujuk kepada dua tuduhan jenayah pengubahan wang haram terhadap Loo yang dikemukakan tanpa kehadirannya (in absentia) pada 2018 berhubung perjanjian bon 1MDB AS$6.5 bilion membabitkan bank pelaburan Goldman Sachs International.

Sementara itu, Loo berkata kali terakhir beliau berkomunikasi dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low ialah pada Mac 2023 manakala perjumpaaan terakhir dengan lelaki itu adalah di Shanghai bagi membincangkan mengenai pembinaaan sebuah pusat beli belah di Bangkok.

Saksi itu berkata, mereka turut membincangkan secara ringkas mengenai penyelesaian dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berhubung skandal 1MDB.

Katanya, beliau berhasrat untuk membuat penyelesaian, tetapi permohonan bagi menggantung tindakan melucut hak dua bank akaun dan dua hartanah di New York bernilai AS$4.5 juta dan di London bernilai £1.8 juta serta lukisan Picasso masih berlangsung.

Saksi itu berkata, semua hartanah dan bank akaun daripada dana 1MDB berkenaan bukan di bawah namanya, tetapi di bawah kawalan beliau selaku pemegang amanah.

Katanya, sejumlah AS$15 juta dana daripada1MDB dimasukkan oleh Jho Low ke dalam dua akaun bank Swiss yang kemudiannya digunakan untuk membeli hartanah terbabit.

Disoal lanjut oleh Muhammad Shafee, Loo berkata, DoJ memulakan prosiding di mahkamah dan melucut hak dua akaun dan kedua-dua hartanah dengan persetujuannya.

Menurut Loo, Jho Low mendakwa wang daripada Falcon Bank itu bukan berasal daripada 1MDB, tetapi siasatan DoJ menyatakan sebaliknya.

Katanya, Jho Low juga mengaturkan AS$15 juta untuk pelaburan melalui pelbagai entiti termasuk dalam Blackstone Real Estate Corporation yang dikawal sekutunya, Tan Kim Loong.

"Saya tidak melakukan apa-apa ke atas hartanah di London kerana sedang melakukan pengubahsuaianuntuk disewakan … bagaimanapun ia tidak berlaku kerana media melaporkan secara meluas mengenai isu 1MDB pada 2015," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 1 April ini.

Berita Harian X