Jumaat, 15 March 2024 | 3:25pm
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat pada program edaran bubur lambuk di pekarangan Pejabat AUEGCAS Perak di Ipoh. - Foto NSTP/L Manimaran
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat pada program edaran bubur lambuk di pekarangan Pejabat AUEGCAS Perak di Ipoh. - Foto NSTP/L Manimaran

CUEPACS mahu kerajaan teruskan tradisi beri bantuan khas kewangan Aidilfitri

IPOH: CUEPACS mengulangi gesaan supaya kerajaan memberikan bantuan khas kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam dan pesara.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat, berkata pihaknya berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan tradisi bantuan khas perayaan itu sebagaimana dilaksanakan sepanjang 10 tahun lalu.

Menurutnya, insentif itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penjawat awam, malah melegakan kelompok peniaga.

"Kami merayu supaya kerajaan mengumumkan dalam waktu yang terdekat ini, kerana ada keluh kesah peniaga di luar sana apabila penjawat awam kurang 'purchasing power'.

"Sekurang-kurangnya dengan ada bantuan khas Aidilfitri, bukan sahaja penjawat awam (terima manfaat), tetapi untuk peniaga di bazar Aidifitri yang memerlukan pembeli yang mampu membeli barangan mereka.

"Jika kami tidak ada kelebihan, maka kami tidak mampu membeli (dan mewujudkan) pusingan ekonomi kepada peniaga," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Bubur Lambuk Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) Perak di Anjung AUEGCAS di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Adnan melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Perak dan Pulau Pinang yang sudah mengumumkan bantuan khas kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam di negeri masing-masing.

Beliau turut menyarankan kerajaan negeri lain mencontohi tindakan prihatin dua negeri berkenaan.

"CUEPACS memohon dan merayu kepada semua kerajaan negeri yang lain agar memberi pertimbangan yang sama seperti Perak dan Pulau Pinang," katanya.

Pada majlis sama, AUEGCAS menyumbang RM2,000 kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima.

Berita Harian X