Jumaat, 15 March 2024 | 11:15am
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata bekalan beras putih tempatan meningkat sehingga Mac lalu. - Foto NSTP
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata bekalan beras putih tempatan meningkat sehingga Mac lalu. - Foto NSTP

Pengedaran Beras Putih Tempatan meningkat tiga peratus - Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR: Pengedaran bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) meningkat tiga peratus apabila 3.9 juta kampit beras sudah diedarkan ke seluruh negara sehingga 5 Mac lalu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, peningkatan itu menunjukkan kejayaan beberapa langkah yang diambil kementerian dalam mengatasi isu kekurangan bekalan beras tempatan.

Katanya, antara langkah intervensi untuk memastikan bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) mencukupi di pasaran adalah melalui Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT), OP JAMIN, Arahan Had Pembelian dan Program Khas Beras Putih Tempatan.

"Selain daripada itu, kementerian juga melaksanakan empat langkah intervensi tambahan bagi memastikan pengedaran dan bekalan beras putih tempatan terjamin dan stabil.

"Langkah pertama adalah mengarahkan FAMA dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) meningkatkan pengedaran BPT ke kawasan pinggir bandar dan luar bandar termasuk ke kedai-kedai runcit," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Ahmad Saad@Yahya (PN-Pokok Sena) mengenai sejauhmana Pasukan Khas Bersepadu Penguatkuasaan OP BPT membabitkan Kawalselia Padi dan Beras (KPB) efektif dalam menyelesaikan isu kekurangan bekalan beras tempatan dalam pasaran.

Mohamad menjelaskan, langkah kedua yang dilaksanakan kementeriannya adalah memastikan semua perolehan pembekalan beras putih tempatan di bawah kontrak kerajaan akan menggunakan Beras Putih Import (BPI) dan pihak pembekal boleh mendapatkan bekalan pada harga borong.

Katanya, ketiga, kementerian menubuhkan 'Task Force' Khas operasi bersepadu OP BPT membabitkan pelbagai agensi meliputi Kawal Selia Padi dan Beras (KPB), KPKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan melaksanakan pemeriksaan menyeluruh atas semua peringkat rantaian industri termasuk semua kilang beras, pemborong beras dan peruncit.

Langkah keempat, katanya, dalam konteks Sabah, Labuan dan Sarawak, kerajaan bersetuju untuk memberikan subsidi sebanyak RM950 per tan metrik (BPI) mulai 5 Oktober 2023.

"Melalui kaedah ini, harga runcit maksimum BPI di kedua-dua negeri ini adalah RM31 bagi sekampit 10 kg. Langkah ini di ambil memandangkan pengeluaran BPT di Sabah dan Sarawak adalah terhad," katanya.

Dalam masa yang sama, Mohamad berkata, bagi mengekang aktiviti manipulasi dan penyelewengan bekalan beras di pasaran, kementerian melalui Kawalselia Padi dan Beras sedang melaksanakan OP BPT 2.0 sejak 1 Februari 2024.

"Operasi ini membabitkan pemeriksaan dan penguatkuasaan secara bersasar terhadap pemegang lesen kilang, beli padi, borong, eksport, import di seluruh negara," katanya.

Objektif BPT 2.0 antara lain mencegah aktiviti manipulasi bekalan beras oleh pemborong melalui pemeriksaan verifikasi stok fizikal dan invois sumber belian BPI di peringkat borong; mempertingkatkan pemeriksaan di peringkat pengilang padi terhadap hasil sampingan pengilangan padi seperti dedak,

temukut dan beras hancur bagi membendung percampuran dengan beras untuk pengguna.

Selain itu BPT 2.0 dilaksanakan dengan melakukan pengauditan ke atas pengilang, pemborong dan peruncit bagi mendapatkan butiran sumber bekalan, pengedaran dan penjualan BPT; mempergiatkan penguatkuasaan melalui kerjasama dengan agensi penguatkuasaan sempadan negara di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi membendung aktiviti penyeludupan beras bersubsidi.

Melalui BPT 2.0, turut dijalankan pemeriksaan secara bersama dgn KPDN ke atas pengilang dan pusat belian padi bagi memastikan tiada manipulasi alat timbangan untuk tujuan mengaut keuntungan berlebihan.

Berita Harian X