Jumaat, 15 March 2024 | 10:16am

Skim persaraan baharu penjawat awam kurangkan beban kewangan

Polemik membabitkan isu pemansuhan pencen penjawat awam dilihat semakin hangat dan mewujudkan perdebatan terbuka terutama menyentuh jumlah pencen diterima bekas menteri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ini kerana tanggungan kerajaan ke atas bayaran pencen bagi ahli politik, khasnya bekas anggota Kabinet dan EXCO meningkat kerana mereka menerima pencen untuk setiap jawatan disandang sebelum ini, berbanding penjawat awam yang hanya menerima satu pencen sahaja.

Atas faktor ini, Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat mencadangkan jika kerajaan mahu mengurangkan bebanan kewangan membayar pencen, bekas anggota Kabinet atau ADUN atau ahli politik seharusnya diberi hanya satu sahaja pencen.

Cadangan CUEPACS ini ada kewajarannya kerana ia menimbulkan persoalan rasional seorang bekas menteri, ahli politik atau EXCO menerima pencen bagi setiap jawatan disandang sebelum ini walaupun ia termaktub dalam Perlembagaan.

Foto hiasan.
Foto hiasan.

Jika seorang menteri pernah menyandang lebih daripada satu jawatan, bermakna dirinya akan menerima tiga bayaran pencen setiap bulan sedangkan ada antara mereka berkhidmat sebagai wakil rakyat dalam tempoh singkat atau sepenggal sahaja sekitar lima tahun, tetapi menerima pencen dalam jumlah tertentu untuk semua jawatan disandangnya.

Atas faktor ini, sudah tentu cadangan pemansuhan skim pencen penjawat awam menerima maklum balas negatif daripada rakyat terutama pesara penjawat awam kerana dilihat tidak adil kepada mereka kerana secara puratanya berkhidmat untuk negara melebihi 30 tahun sebelum layak menerima faedah saraan.

Amalan ini jelas membebankan kewangan kerajaan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mendedahkan tanggungan kerajaan ke atas pembayaran pencen untuk pesara kerajaan, Ahli Parlimen dan anggota pentadbiran, setiausaha politik dan hakim meningkat lebih RM1 bilion setiap tahun.

Natijahnya, cadangan untuk memansuhkan pencen penjawat awam ini mendapat kritikan masyarakat sehingga mencadangkan pula supaya pemansuhan pencen itu dikuatkuasakan terlebih dulu kepada semua lantikan politik, bekas menteri, Ahli Parlimen dan ADUN.

Justeru, cadangan bagi penambahbaikan skim pencen yang bakal dibentangkan tidak lama lagi seharusnya mengambil kira atau perlukah orang politik menerima pencen bergantung kepada jawatan pernah disandang berbanding pencen diterima penjawat awam.

Semua pihak terutama penjawat awam sedang menunggu tiga agensi menjaga kebajikan pekerja, iaitu Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 18 Mac ini kepada kerajaan dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membentangkan skim persaraan pada 22 Mac.

Apa yang penting skim baharu bakal diterima dan dilaksanakan kerajaan nanti dapat menjamin anggota perkhidmatan awam masa depan mendapat skim lebih baik berbanding skim tetap dan berpencen sekarang serta pada masa sama mengurangkan beban kewangan kerajaan atau tidak berlaku pembaziran.

Berita Harian X