Jumaat, 15 March 2024 | 8:58am
Tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini, mendapati harga beberapa jenis sayur-sayuran menunjukkan peningkatan sejak awal Ramadan berikutan mendapat permintaan tinggi. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini, mendapati harga beberapa jenis sayur-sayuran menunjukkan peningkatan sejak awal Ramadan berikutan mendapat permintaan tinggi. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR

Harga beberapa sayur di Kelantan naik harga sejak awal Ramadan

KOTA BHARU: Beberapa jenis sayur-sayuran di Kelantan menunjukkan peningkatan sejak awal Ramadan berikutan mendapat permintaan tinggi.

Tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini, mendapati harga lada solok naik kepada RM25 sekilogram daripada RM20, timun RM4 daripada RM3 sekilogram, dan bendi RM8 daripada RM7 untuk dua kilogram, manakala bunga kantan RM3 daripada RM2 sekuntum.

Peniaga Zarina Yusoff, 45, berkata, kenaikan harga beberapa sayur-sayuran itu bermula 1 Ramadan lalu dan ini kemungkinan disebabkan permintaan tinggi ketika bulan puasa.

"Walaupun harga sayur-sayuran naik, namun peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya kerana tidak mahu pembeli rasa terbeban.

"Bagaimanapun, ada juga sayur yang mengalami penurunan harga seperti terung RM12 kepada RM10 sekilogram," katanya ketika ditemui di RTC, Tunjong, di sini, hari ini.

Peniaga, Farida Hamimi Mustafa, 29, berkata, harga sayur yang dibeli daripada pemborong meningkat menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan sedikit harga, namun tidak mengambil untung yang banyak.

"Antara sayur-sayuran yang dibeli dari pemborong dan mengalami kenaikan harga ialah jantung pisang daripada RM25 kepada RM30 untuk 10 kilogram dan timun daripada RM10 kepada RM18 untuk tujuh kilogram.

"Harga sayur ini dari dulu macam itu, sekejap naik sekejap turun dan selalunya kalau sudah naik susah nak turun.

"Bagaimanapun, jika kenaikan harga sayur tidak dapat dikawal dan terus berlaku ia akan membebankan pengguna termasuk peniaga yang memerlukan bekalan ini setiap hari," katanya.

Sementara itu, peniaga kedai runcit, Abd Aziz Ghulam Qader, 31, berkata, minyak masak paket satu kilogram (kg) bersubsidi mengalami kekurangan bekalan sejak sebulan lalu.

"Saya difahamkan kebanyakan pemborong mendakwa mereka tidak mempunyai stok minyak masak paket dan sejak itu saya tidak lagi menerima bekalan berkenaan.

"Bagaimanapun untuk mendapatkan minyak masak paket, saya mengambil inisiatif dan terpaksa membelinya di beberapa pasar raya yang kemudiannya dijual di kedai untuk memenuhi permintaan pelanggan yang datang membeli.

"Disebabkan itu juga, saya terpaksa menjual minyak masak paket yang dibeli pada harga RM2.50 kepada RM3 satu kilogram," katanya.

Katanya, setiap hari ramai pembeli terutama peniaga di kawasan sini mengeluh kerana susah untuk mendapatkan minyak masak paket.

Berita Harian X