Jumaat, 15 March 2024 | 8:08am
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman. - Foto BERNAMA
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman. - Foto BERNAMA

Nadir Al-Nuri syahdu berjauhan dengan keluarga di Palestin ketika Ramadan

KUALA LUMPUR: Terpaksa berjauhan dengan keluarga ketika menjalani Ramadan ternyata meruntun sanubari aktivis kemanusiaan, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman untuk meneruskan kehidupan harian.

Tanpa berselindung, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) itu juga mengakui merindui saat bersama insan tersayang, terutama ketika menjelang berbuka puasa.

Berkongsi perasaan berpisah dengan keluarga akibat peperangan Palestin-Israel, beliau terpaksa mencekalkan hati untuk menjalani takdir tanpa pernah menduga ketentuan Allah.

Pemuda berusia 37 tahun itu juga mengakui menerima perkhabaran ahli keluarga masih hidup sudah memadai, biarpun tidak berpeluang beriftar bersama-sama yang menjadi budaya rakyat Palestin.

"Memang sedih apabila mengenangkan keluarga tidak boleh berbuka puasa dengan juadah seperti di Malaysia, tetapi anak faham situasi masing-masing, selain menasihati jangan terbuai dengan kesukaran mereka hingga tidak makan.

"Anak saya sangat matang, dia siap berpesan: janganlah sebab kami tak boleh makan, rakyat Malaysia pun tidak makan...tetapi jangan lupa doakan kami dan hulurkanlah sumbangan semampu mungkin," katanya ketika ditemui di Majlis Iftar Ramadan anjuran Muslim Care Malaysia (MCM) di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Muhammad Nadir Al-Nuri meninggalkan Gaza susulan beberapa urusan di Malaysia sebelum konflik Israel-Palestin meletus pada 7 Oktober lalu.

Sejak itu, dia terpisah dengan isteri dan anaknya, selain hanya mampu berhubung dengan mereka selang dua hari akibat rangkaian telekomunikasi serta liputan internet mengalami gangguan.

Pada Mei 2016, Muhammad Nadir berkahwin dengan seorang balu pejuang Palestin, Reem Al-Minawi, selepas berkenalan selama tiga tahun dengan pilihan itu dibuat sebagai kaedah memudahkan perjuangannya.

Bercerita mengenai kelaziman rakyat Palestin ketika menyambut Ramadan, Muhammad Nadir berkata, lazimnya ia menjadi tempoh bagi seisi keluarga berkumpul sambil menyediakan juadah dan berbuka bersama-sama.

"Namun, Ramadan kali ini, sangat berbeza. Mereka bergantung sepenuhnya kepada makanan dalam tin dan anak ketika dihubungi semalam, menyatakan terpaksa berbuka dengan apa-apa sahaja yang terhidang di depan mata.

"Setakat ini, mereka belum berkesempatan untuk menjamah kurma, walaupun sebiji. Malah, bekalan air bersih juga sukar didapati, selain perlu bergantung kepada sumber yang ada seperti perigi atau trak.

"Mereka masih melaksanakan ibadah tarawih di masjid yang runtuh akibat di bom. Beberapa sukarelawan CGM turut meminta dana untuk membeli alat pembesar suara bagi menghidupkan suasana Ramadan, walaupun dalam keadaan peperangan," katanya.

Ditanya moment paling dirindu selepas berjauhan dengan keluarga, beliau berkata, detik paling meruntun hati apabila tidak berpeluang meraikan sambutan ulang tahun kelahiran anaknya, Haura' dan Qamar, kira-kira tiga minggu lalu.

"Ketika itu isteri usahakan juga untuk buat kek. Mereka dapat sedikit tepung dan serbuk koko dan dua bahan itu diadun menjadi kek. Ia hanya untuk menggembirakan anak kami, padahal rasanya cukup teruk.

"Selang beberapa hari, isteri sekali lagi menghasilkan kek daripada krim karamel segera sumbangan orang ramai. Malah, sudu dijadikan sebagai pengganti lilin untuk sambutan hari lahir Qamar," katanya.

Berita Harian X