Khamis, 14 March 2024 | 9:01pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada anak yatim di Majlis Santunan Kasih Ramadan 1445H di Masjid Jamek Layang-Layang, Simpang Renggam, Kluang hari ini. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada anak yatim di Majlis Santunan Kasih Ramadan 1445H di Masjid Jamek Layang-Layang, Simpang Renggam, Kluang hari ini. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Kerajaan setuju pinda syarat program MM2H, tarik lebih ramai peserta

KLUANG: Kerajaan bersetuju meminda beberapa persyaratan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi menggamit lebih ramai peserta program itu ke negara kita.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan (JPKP) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang dipengerusikannya, kelmarin.

Beliau berkata, persyaratan MM2H dipermudahkan bukan sahaja membabitkan proses permohonan, malah kadar simpanan tetap dan jumlah pembelian hartanah dengan harga munasabah.

Katanya, antara persyaratan yang diubah ialah jumlah simpanan tetap yang diwajibkan ditukar kepada tiga kategori membabitkan Platinum, Emas dan Perak, dengan jumlah bagi kategori Platinum ialah RM4.49 juta (AS$960,000).

"Keduanya, kita juga dengan kerjasama Jabatan Imigresen akan permudahkan permohonan MM2H dan melihat dari segi aspek keselamatan pemohon akan jadi perkiraan utama.

"Permohonan akan dapat kelulusan selepas borang diisi mengikut syarat dalam tempoh tiga hari bekerja.

"Ketiganya, kita menentukan moratarium syarat hartanah yang dibeli mesti tidak boleh dijual sebelum capai tempoh matang sekurang-kurangnya selama 10 tahun.

"Keempat, penyambungan visa peserta MM2H akan dibuat setiap lima tahun. Selain itu, kita akan berikan kemudahan lain terutamanya dari segi pendidikan jika peserta MM2H ada anak untuk bersekolah di institusi pilihan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan 1445H di Perkarangan Masjid Jamek Layang-Layang, Simpang Renggam, di sini, hari ini.

Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) sebelum ini dilaporkan melancarkan versi program MM2H yang telah diubah suai, yang kini mempunyai tiga peringkat iaitu Perak, Emas dan Platinum.

Program yang dirombak itu memperlihatkan beberapa perubahan pada kriteria kelayakan seperti syarat umur minimum diturunkan kepada 30 tahun, sekali gus membuka pintu kepada lebih ramai yang ingin menjadikan Malaysia rumah kedua mereka.

Permohonan hanya boleh dikemukakan melalui ejen MM2H berlesen yang diiktiraf oleh kementerian di bawah Akta Industri Pelancongan 1992, sebagai satu cara untuk menjadikan proses itu lebih lancar dan selamat.

Tanpa mengira peringkat yang dipilih, semua peserta mesti memenuhi syarat tinggal minimum di Malaysia untuk jumlah kumulatif 60 hari setiap tahun.

Ketika pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober lalu, kerajaan bersetuju untuk melonggarkan syarat-syarat sedia ada bagi permohonan MM2H bagi meningkatkan kedatangan pelancong dan pelabur asing ke Malaysia.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pindaan persyaratan MM2H yang dilakukan adalah bagi menambah baik sistem program sedia ada tanpa berkompromi dari aspek keselamatan.

"Untuk Johor termasuk Forest City, kerajaan telah bersetuju untuk mempermudahkan lagi permohonan MM2H.

"Ia termasuk dengan mengurangkan lagi jumlah nilai pembelian hartanah dan jumlah simpanan tetap selain memberi kelonggaran pemilikan dengan moratarium lebih mudah daripada sebelum ini," katanya.

Berita Harian X