Khamis, 14 March 2024 | 8:38pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kiri) pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Layang-Layang, Simpang Renggam, Kluang hari ini. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kiri) pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Layang-Layang, Simpang Renggam, Kluang hari ini. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

86,177 tan sisa makanan dilupuskan pada Ramadan lalu

KLUANG: Sebanyak 243,095 tan sisa pepejal dilupuskan pada bulan Ramadan tahun lalu dengan 86,177 tan daripadanya adalah sisa makanan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Oleh itu, Timbalan Perdana Menteri menasihatkan orang ramai tidak melakukan pembaziran dan membeli mengikut keperluan jika berkunjung ke bazar atau bufet Ramadan.

Katanya, Data Sisa Pepejal Tahun 2023 menunjukkan rakyat Malaysia menghasilkan sisa makanan sebanyak 17,379 tan sehari atau bersamaan 473 gram, untuk setiap individu.

"Ini adalah satu jumlah yang tinggi dan amat merugikan.

Bagi 2023 sahaja, purata bulanan sisa pepejal yang dilupuskan dalam bulan Ramadan berjumlah 243,095 tan dan 86,177 tan daripadanya ada sisa makanan.

"Seharusnya angka ini menjentik hati kita semua di bulan Ramadan ini untuk berfikir seketika akan betapa besar jumlah pembaziran yang telah dilakukan,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan 1445H di perkarangan Masjid Jamek Layang-Layang, Simpang Renggam, di sini, hari ini.

Majlis anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu memasuki tahun kedua penganjurannya dengan Johor dipilih sebagai lokasi pertama.

Selepas ini, majlis sama akan diadakan di Tanah Merah, Kelantan; Dungun, Terengganu; Trolak, Perak; Nibong Tebal, Pulau Pinang; Labuan; Pendang, Kedah; Kuala Langat, Selangor dan berakhir di Bagan Datuk, Perak.

Terdahulu, lebih 2,000 masyarakat setempat menghadiri program berkenaan di sini yang diikuti dengan majlis iftar.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Islam mendidik umatnya untuk tidak membazir dan berlebih-lebihan dalam berbelanja.

Katanya, Ramadan adalah medan bagi umat Islam mengawal nafsu selain bersyukur dengan kecukupan rezeki dikurniakan Allah dan memupuk nilai kesederhaan.

"Oleh itu, saya menyeru marilah kita jadikan madrasah Ramadan ini sebagai tempoh latihan untuk mendisiplinkan diri, membeli apa yang perlu, berkongsi rasa kesusahan golongan memerlukan serta pada masa yang sama menyemai sikap berjimat cermat.

"Semoga Ramadan kali ini kita dapat membantu negara mengurangkan sisa makanan mahu pun sisa pepejal serta mendidik diri dan keluarga dengan sikap berhemah," katanya.

Berita Harian X