Khamis, 14 March 2024 | 6:01pm
Banglo 99 pintu, rumah agam di Jalan Byram, Nibong Tebal rosak dihempap kren pada Jumaat lalu. - Foto ihsan pembaca
Banglo 99 pintu, rumah agam di Jalan Byram, Nibong Tebal rosak dihempap kren pada Jumaat lalu. - Foto ihsan pembaca

Nasihat EXCO kepada pemilik 'Banglo 99 pintu'

GEORGETOWN: Pemilik 'Banglo 99 pintu', rumah agam di Jalan Byram, Nibong Tebal dekat sini, yang rosak dihempap kren pada Jumaat lalu, dinasihatkan supaya melakukan kerja-kerja pembaikan mengikut prosedur bangunan warisan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye, berkata bangunan itu tidak dapat melalui proses pewartaan sebagai bangunan warisan kerana pemiliknya belum mengemukakan sebarang permohonan setakat ini.

"Banglo itu telah disenaraikan sebagai satu daripada bangunan warisan di Seberang Perai pada 2015, namun ia belum boleh melalui proses pewartaan kerana permohonan untuk pewartaan perlu dilakukan sendiri oleh pemilik bangunan.

"Sebelum itu, Jabatan Pelancongan, Seni dan Warisan MBSP telah memohon untuk menyenaraikan bangunan itu sebagai bangunan warisan mengikut Akta Warisan Kebangsaan," katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Menteri, di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H'ng Mooi Lye. - NSTP/MIKAIL ONG
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H'ng Mooi Lye. - NSTP/MIKAIL ONG

Sehubungan itu, beliau mengarahkan MBSP mengeluarkan surat kepada pemilik bangunan berkenaan supaya memperbaiki banglo usang itu mengikut semua peraturan dan prosedur warisan ditetapkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi itu berkata, surat berkenaan telah dikeluarkan selepas kren tumbang atas bangunan terbabit, kejadian yang menyebabkan struktur bumbung dan dinding premis dipercayai dibina awal kurun ke-19 itu runtuh.

Mooi Lye berkata, siasatan lanjut mendapati bangunan itu tidak berpenghuni dan dipercayai kren yang berada di lokasi kejadian telah digunakan untuk sekumpulan kru produksi untuk tujuan penggambaran.

"Kita tidak dimaklumkan atau menerima permohonan syarikat produksi terbabit dan pada masa sama, lokasi itu tanah milik persendirian. Kami juga difahamkan tiada sesiapa tinggal di bangunan itu termasuk pemiliknya.

"Sekitar pertengahan 2020, bangunan itu juga pernah dilapor terbakar," katanya menambah, pihaknya turut mendapati kawasan banglo dikelilingi ladang kelapa sawit, selain pintu pagarnya sentiasa dalam keadaan berkunci.

Empat tahun lalu, media melaporkan banglo usang yang menjadi lokasi aktiviti paranormal itu tiba-tiba terbakar tanpa diketahui punca hingga mengakibatkan 70 peratus struktur kayu alang dan lantai musnah.

Difahamkan, banglo itu dibina ahli perniagaan British dikenali sebagai Ramsden dengan seni bina Inggeris, lengkap 10 bilik serta dewan tari. Ia mendapat jolokan rumah 99 pintu kerana terdapat susunan lima hingga enam pintu dalam setiap bilik.

Kisah rumah itu mula mendapat perhatian apabila cucu kepada pemilik banglo berkenaan dikatakan telah dibunuh secara kejam pada 1948.

Berita Harian X