Khamis, 14 March 2024 | 5:28pm
Datuk Wan Saiful Wan Jan
Datuk Wan Saiful Wan Jan

Wan Saiful terima notis SPRM, Timbalan Speaker nasihat lapor polis

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, hari ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau diberikan notis oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merakam percakapannya.

Ia berhubung kenyataan dibuat beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU ketika menyertai perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada 28 Februari lalu.

Wan Saiful didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur sangkaan jahat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat.

Berikutan itu Wan Saiful diarahkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu.

Wan Saiful berkata notis itu mengganggunya sehingga memberi tekanan tidak wajar kepada beliau sebagai ahli Parlimen.

Beliau menyifatkan notis itu sebagai tidak adil termasuk berbahaya kerana boleh mengancam imuniti ahli Parlimen daripada pendakwaan dan keistimewaan ketika berucap atau berbahas dalam sidang Dewan Rakyat.

Katanya, beliau sudah pun membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan.

"Jadi keputusan Speaker telah dibuat dalam hal ini. Bagi saya, saya rasa bagi semua ahli dewan, itu telah ditutup dan selesai. Bagaimana, saya terus menerus dapat kacau ganggu daripada pihak berkuasa terutama SPRM. Saya baru dapat satu notis untuk dirakam percakapan saya mengenai apa yang saya sebut dalam dewan yang mulia ini.

"Saya berpandangan bahawa apa yang saya sebut telah diselesaikan oleh Speaker. Tidak ada sesiapa yang boleh mengganggu imuniti yang disebut dalam Seksyen 7 Akta 347. Pada masa sama, tidak wajar untuk menghina keputusan Speaker dan keputusan diambil dewan dalam perkara yang telah selesai.

"Jadi bila ada kacau ganggu yang begini, bagi saya ini satu tekanan yang tidak wajar yang diberikan kepada ahli Parlimen dalam hal yang sedemikian. Saya nak tarik perhatian bahawa ada pelanggaran yang berlaku dan saya rasa tindakan diambil oleh SPRM ini melanggar bukan saja imuniti ahli Parlimen yang disebut dalam Seksyen 7 Akta 347, tetapi juga melanggar keputusan Speaker.

"Saya nak timbulkan ini untuk perhatian sebab saya rasa ini satu benda yang tidak adil dilakukan dan berbahaya bagi imuniti kita sebagai ahli Parlimen," katanya.

Sebagai respons terhadap isu dibangkitkan itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor, berkata mengikut Peraturan Mesyuarat 43, apa-apa keputusan Speaker adalah muktamad.

Ramli berpandangan mengikut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan yang merujuk keistimewaan Parlimen, apa yang diperkatakan dalam Dewan Rakyat tidak tertakluk kepada undang-undang sivil melainkan jika diulang di luar Parlimen.

Justeru, beliau berpendapat tindakan SPRM itu adalah untuk menjalankan siasatan terhadap isu yang ditimbulkan sambil menasihatkan Wan Saiful membuat laporan polis.

"Jadi apa-apa yang dilaksanakan oleh SPRM ini, pada pandangan saya adalah proses penyiasatan. Yang boleh memutuskan apa-apa sekali pun mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan adalah kuasa AG (Peguam Negara).

"Saya rasa YB keluar dari dewan ini buat satu laporan polis supaya siasatan juga boleh dijalankan atas kuasa-kuasa dijalankan oleh SPRM dan pemutusnya adalah mengikut Perkara 145, iaitu Peguam Negara," katanya.

Berita Harian X