Khamis, 14 March 2024 | 4:23pm
Empangan Muda. - Foto fail Bernama
Empangan Muda. - Foto fail Bernama

El Nino: Tiga empangan di Kedah tak terjejas

ALOR SETAR: Paras takungan air di tiga empangan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) masih di tahap memuaskan bagi menampung keperluan pengairan dan kegunaan domestik sepanjang El Nino melanda.

Sehingga hari ini, takungan Empangan Pedu berada pada tahap 71.84 peratus manakala Empangan Ahning (91.83 peratus) dan Empangan Muda (49.3 peratus).

MADA dalam satu kenyataan berkata biarpun jumlah takungan air di Empangan Muda berkurangan, namun penduduk tidak perlu panik berikutan air di empangan itu digunakan untuk menyokong takungan air di Empangan Pedu bagi tujuan pengairan.

"Empangan Muda tidak salurkan air ke mana-mana terusan kerana Empangan Muda dan Empangan Pedu ini berkongsi air yang sama, maksudnya ada terowong antara kedua empangan ini.

"Empangan Muda nampak tadahan kecil tapi sebenarnya takungan airnya lebih besar berbanding Empangan Pedu.

"Empangan Pedu pula nampak tadahan besar, tapi takungan airnya lebih kecil berbanding Empangan Muda

"Orang ramai tidak perlu panik kerana Empangan Pedu masih mencatatkan takungan yang memuaskan untuk pengairan dan memulakan musim tanaman padi pada April depan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, tiga empangan ini dijangka mampu bertahan untuk menampung keperluan pengairan sepanjang fenomena El Nino yang dijangka berlarutan sehingga Jun depan.

Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh bagaimanapun berkata pihaknya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghadapi cuaca panas akibat fenomena El Nino termasuk memantau laporan semasa Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

Katanya, bagi tujuan pengairan kawasan Muda, MADA mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan penggiliran pengairan kawasan-kawasan pertanian padi.

MADA dalam kenyataan sama berkata penggunaan air untuk pengairan ketika ini sangat minimum berikutan aktiviti penuaian.

"Tiada isu pengurangan air di Empangan Muda disebabkan faktor penggunaan air untuk domestik kerana Empangan Ahning yang digunakan untuk sumber air domestik.

"Sehingga kini kedudukan takungan air semua empangan sangat baik," katanya.

Berita Harian X