Khamis, 14 March 2024 | 2:41pm

Pasukan petugas khas KKM kaji isu discaj penjawat awam, pesara dari IJN

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi melaksanakan kajian menyeluruh berhubung proses discaj pesakit dalam kalangan penjawat awam dan pesara dari Institut Jantung Negara (IJN) berikutan langkah penjimatan kos kerajaan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, berkata terlebih dahulu pihaknya perlu memuktamadkan terma rujukan dan keanggotaan pasukan petugas khas termasuk ringkasan eksekutifnya.

Beliau berkata, KKM juga akan menetapkan garis masa penyiapan kajian sebelum dilaporkan semula kepada Jemaah Menteri.

"KKM melalui Unit Komunikasi Korporat (UKK) juga akan meningkatkan komunikasi strategik mengenai isu ini bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat," katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Lukanisman berkata tujuan kajian itu dilaksanakan bagi menentukan kategori layak untuk menerima rawatan di IJN.

Sebelum ini, portal Code Blue menerusi laporannya memetik kenyataan seorang pesara penjawat awam yang diberhentikan rawatan selepas 25 tahun menerima rawatan rapi di IJN.

Pesara itu, yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, alasan yang diberi ialah arahan kementerian supaya semua penjawat awam dan pesara perlu discaj ke pusat jantung KKM berhampiran rumah mereka.

Menurut pesara itu, dia juga bimbang pusat jantung yang berhampiran rumahnya itu tidak mempunyai kepakaran untuk mengendalikan kesnya dan bilangan ubat yang terhad.

Mengenai isu discaj penjawat awam dan pesara kerajaan dari IJN, Lukanisman berkata pesakit hanya dibenarkan keluar daripada fasiliti itu apabila keadaan mereka stabil dengan tempoh pemantauan sekurang-kurangnya enam bulan hingga satu tahun.

Untuk orang dewasa, katanya ia membabitkan tempoh satu tahun manakala kanak-kanak dua tahun.

Jelasnya, perkara ini dilaksanakan selaras dengan Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Tahun 2002.

"Pesakit yang telah stabil ini masih boleh dirujuk ke hospital KKM bagi mendapatkan rawatan susulan.

"Hospital-hospital KKM juga dilengkapi dengan peralatan dan fasiliti yang baik serta mempunyai pakar perubatan dan pakar bedah bertauliah dan menawarkan perkhidmatan yang setanding dengan IJN.

"Pendekatan ini membolehkan sekurang-kurangnya 4,000 hingga 5,000 pesakit baharu boleh dirujuk ke IJN setiap tahun bagi mengoptimumkan perbelanjaan," katanya.

Berita Harian X