Rabu, 13 March 2024 | 9:45pm
Syed Abu Hussin Hafiz.
Syed Abu Hussin Hafiz.

Perdana Menteri tak diberi maklumat tepat - Syed Abu Hussin

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen mempersoal sama ada Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Negara bagi Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan maklumat yang tepat mengenai bekalan beras putih di negara ini.

Dalam temu bual dengan New Straits Times hari ini, Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menimbulkan persoalan sedemikian berikutan situasi di lapangan yang dilakukan oleh pasukannya tiga hari lalu.

Syed Abu Hussin berkata, semakan pasukan pemantau di 30 lokasi di Semenanjung mendapati tiada bekalan beras putih tempatan di pasaran.

"Malang Perdana Menteri terpaksa mengambil tanggungjawab dan ditegur dalam hal ini, sedangkan isunya adakah pegawai daripada pihak berkuasa yang bertanggungjawab memberikan maklumat tepat (bekalan beras putih tempatan di pasaran) atau sebaliknya, semasa mesyuarat NACCOL.

"Ketika mesyuarat NACCOL diadakan, Ketua Pengarah Kawalan Padi dan Beras memberitahu Perdana Menteri bekalan beras mencukupi dan tersedia di pasaran tetapi wakil dari pasar raya besar memaklumkan sebaliknya.

"Ini bermakna pegawai yang bertanggungjawab tidak memberikan maklumat yang betul kepada Perdana Menteri. Keadaan ini menyebabkan isu ini menjadi lebih rumit,"katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang meminta supaya Ketua Pengarah Bahagian Kawalan Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood bertanggungjawab atas situasi berkaitan bekalan beras putih tempatan itu.

"Sekiranya agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab menjalankan tugas mereka dengan sewajarnya, pengguna mungkin masih dapat membeli beras putih pada harga RM20 sekampit.

"Sejak enam bulan lalu, orang ramai terpaksa mengeluarkan lebih banyak wang untuk membeli sekampit beras" katanya.

Syed Abu Hussin juga berpegang kepada cadangannya supaya beras putih MADANI dijual pada harga RM30 bagi setiap 10 kilogram.

Cadangan itu, katanya, dibuat selepas mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan yang terbabit dalam rantaian bekalan beras putih, termasuk pengilang, pesawah serta pengguna.

Beliau mendakwa pengilang turut sanggup membeli padi pada harga RM1,500 setan metrik, iaitu RM200 lebih daripada harga siling semasa.

"Saya sudah meminta empat kilang beras utama di negara ini mengenai cadangan saya (untuk satu pek beras putih 10kg dijual pada harga RM30).

"Pengilang padi ini berkata mereka sanggup membeli padi pada harga RM1,500 setan metrik daripada pesawah," katanya.

Syed Abu Hussin berkata, beliau juga menyedari rungutan dan desakan petani padi supaya kerajaan menaikkan harga siling padi kepada RM1,700 setan metrik.

Kerajaan ketika ini memberi subsidi RM500 bagi setiap tan metrik.

"Cadangan saya ialah jika kita mahu mewujudkan situasi menang-menang kepada pesawah tanpa membebankan pengguna, mungkin kerajaan boleh menambah jumlah subsidi sebanyak RM200 lagi (setiap tan metrik)," katanya.

Berita Harian X