Rabu, 13 March 2024 | 6:57pm
(Foto hiasan) Bazar Ramadan menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli juadah berbuka puasa. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
(Foto hiasan) Bazar Ramadan menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli juadah berbuka puasa. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD

Ramadan bukan musim 'berpesta' makanan - Mufti

KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini diingatkan bahawa Ramadan bukan musim 'berpesta' makanan sehingga berlaku pembaziran, sepanjang tempoh menjalani ibadat puasa pada bulan suci ini.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, menegaskan al-Quran sudah menyebut pembaziran adalah amalan syaitan yang terkutuk, selain umat Islam juga perlu menjauhi sikap boros.

"Makanan dan minuman memang adalah keperluan asas untuk kehidupan manusia. Namun seperti ungkapan pujangga yang kita sering dengar: makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.

"Oleh itu, demi memelihara kesihatan dan menstabilkan ekonomi keluarga, berbelanjalah dengan sederhana sepanjang bulan Ramadan ini. Ambil peluang tempoh bulan suci ini untuk memperoleh sebanyak mungkin pahala melalui pelaksanaan ibadah dan kebajikan.

"Usah menukarkannya menjadi musim berpesta makanan yang berlebihan sehingga berlaku pembaziran," katanya kepada BH.

Sementara itu Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad turut mengingatkan bahawa pembaziran makanan adalah haram dalam Islam.

Sepatutnya apabila Ramadan tiba, beliau berkata, umat Islam mengambil hikmah berpuasa dengan bersikap seimbang dalam pelbagai aspek, termasuk tidak terlalu boros berbelanja.

"Sebagai contoh jika ke bazar Ramadan, jangan terlalu diikutkan keinginan kerana ia akan menyebabkan pembaziran. Beli sekadar yang perlu kerana sekiranya membeli makanan sehingga berlebihan, sudah pasti ia akan terbuang begitu saja.

"Melawan kemahuan diri yang melampau adalah satu jihad besar. Setiap umat memang perlu berjihad melawan godaan ini, termasuk dari segi makanan dan minuman," katanya.

Bekas Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman pula menasihati umat Islam supaya mengikut sunnah Rasulullah yang mengamalkan berbuka puasa dengan memakan kurma yang bukan saja boleh mengenyangkan tetapi juga membantu badan menjadi segar semula.

"Namun jika mahu membeli makanan untuk berbuka puasa, ikut keperluan saja dan jangan sampai membazir.

"Sekiranya mahu membeli lebih bagi membantu peniaga makanan, itu tidak salah tetapi makanan lebih itu lebih elok disedekahkan kepada jiran, masjid atau anak yatim.

"Kita perlu belajar mengawal diri, terutama dalam keadaan ekonomi sekarang, kerana membazir juga adalah amalan yang dilarang dalam Islam," katanya.

Berita Harian X