Rabu, 13 March 2024 | 4:31pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. - Foto Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. - Foto Bernama

JAKIM tidak pernah iktiraf mana-mana pakej perkhidmatan 'kahwin di Thailand'- Mohd Na'im

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak pernah memberi sebarang pengiktirafan kepada mana-mana pihak untuk menawarkan pakej perkhidmatan perkahwinan di Thailand, seperti yang diiklankan di media sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar sebaliknya, berkata dakwaan yang mengaitkan JAKIM itu palsu, kerana ia jelas bertentangan dengan peranan JAKIM dalam memastikan masyarakat Islam mematuhi hukum dan undang-undang.

"Contohnya kalau kahwin poligami dilakukan di Thailand ikut pakej, jadi status perkahwinan itu mungkin diragui sama ada sah atau tidak.

"Betul, peraturan dalam undang-undang membenarkan pasangan yang nikah di Thailand, apabila mereka balik semula perlu daftarkan ke dalam negara (pejabat agama)...tetapi harus diingat, terdapat peruntukan di bawah Seksyen 12 (2) yang dibaca bersama Seksyen 40 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri," katanya.

Beliau berkata demikian susulan terdapat beberapa pihak tidak bertanggung jawab mengiklankan di Facebook pakej perkhidmatan perkahwinan di Thailand, dengan meletakkan di dalam iklan tersebut antaranya 'diiktiraf JAKIM dan kerajaan Malaysia'.

Mohd Na'im ditemui selepas menghadiri program edaran pek juadah berbuka puasa kepada kakitangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), di Wisma Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi kedua-dua kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) dan Seksyen 40 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri, mereka yang bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 dan penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Mohd Na'im meluangkan masa kira-kira 20 minit beramah mesra dengan kakitangan Bernama, sebelum mengedarkan pek juadah berbuka puasa kepada pengarang dan wartawan yang bertugas hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita, Nasriah Darus. – BERNAMA

Berita Harian X