Rabu, 13 March 2024 | 1:11pm
Kantin sekolah dibuka sepanjang Ramadan bagi memudahkan pelajar bukan Islam mendapatkan makanan ketika waktu rehat dan pada masa sama, dididik menghormati antara satu sama lain. - Foto hiasan NSTP
Kantin sekolah dibuka sepanjang Ramadan bagi memudahkan pelajar bukan Islam mendapatkan makanan ketika waktu rehat dan pada masa sama, dididik menghormati antara satu sama lain. - Foto hiasan NSTP

Jangan polemikkan isu kantin sekolah dibuka

KUALA LUMPUR: Isu kantin sekolah dibuka sepanjang Ramadan tidak wajar dipolemikkan, terutama oleh pembangkang.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, berkata tindakan pembangkang itu dilihat sebagai percubaan memecah-belahkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Pembangkang tidak melihat keperluan murid sekolah khususnya yang bukan beragama Islam.

"Terdapat pelbagai sebab mengapa kantin sekolah wajar dibuka ketika bulan Ramadan. Di sesebuah sekolah ada pelajar dan guru bukan Islam yang tidak berpuasa.

"Di samping itu, untuk anak-anak Muslim, walaupun mereka harus dididik berpuasa, tetapi yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa," katanya dalam satu kenyataan menerusi platform X, hari ini.

Beliau merujuk kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Yahaya, berkait pengumuman Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bahawa kantin sekolah akan dibuka sepanjang Ramadan.

Ahmad dilaporkan berkata, pengumuman itu keterlaluan dan didakwa tidak menghormati Ramadan.

Syahredzan turut menyifatkan keputusan Kementerian Pendidikan itu tepat dengan mengambil kira beberapa insiden sebelum ini, antaranya ada murid bukan Islam terpaksa makan di tempat yang tidak sesuai termasuk di tandas sekolah pada Ramadan.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP berkata, pengumuman Fadhlina itu lebih cenderung berpaksikan nilai kemanusiaan.

"Sekali lagi PAS dan PN membuktikan pendirian politik mereka tidak serasi dengan negara pelbagai kaum dan agama seperti Malaysia.

"Mereka cenderung mengeluarkan kenyataan yang memecah-belah masyarakat dan bukannya memupuk perpaduan. Perkara ini tidak sewajarnya dicemarkan dengan politik sempit mereka," katanya.

Terdahulu, Fadhlina mengulangi pendirian kantin sekolah mesti dibuka sepanjang bulan puasa untuk memberi kemudahan pelajar bukan beragama Islam mendapatkan makanan ketika waktu rehat.

Ia turut dibuat bagi memudahkan pelajar bukan Islam mendapatkan makanan ketika waktu rehat dan pada masa sama, dididik menghormati antara satu sama lain.

Berita Harian X