Rabu, 13 March 2024 | 12:18pm
Aktivis Hak Kewarganegaraan MUDA, Wong Kueng Hui menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selepas berarak bersama ahli ahli parti MUDA dari Plaza Tugu Negara ke bangunan Parlimen untuk penyerahan memorandum berkenaan bantahan cadangan pindaan perlembagaan persekutuan berhubung kewarganegaraan yang regresif dan tidak berperikemanusiaan di hadapan bangunan Parlimen. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Aktivis Hak Kewarganegaraan MUDA, Wong Kueng Hui menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selepas berarak bersama ahli ahli parti MUDA dari Plaza Tugu Negara ke bangunan Parlimen untuk penyerahan memorandum berkenaan bantahan cadangan pindaan perlembagaan persekutuan berhubung kewarganegaraan yang regresif dan tidak berperikemanusiaan di hadapan bangunan Parlimen. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

'Pindaan isu kewarganegaraan dikhuatiri cetus kelas baharu warga tanpa kerakyatan'

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, didakwa membawa hujah yang tidak relevan dalam isu pindaan Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan.

Aktivis Hak Kewarganegaraan dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Wong Kueng Hui, berkata selepas mendengar justifikasi menteri itu terhadap cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan ketika berucap di Dewan Rakyat pada 11 Mac lalu, beliau berpendapat hujahan menteri itu tidak relevan dengan isu dibangkitkan pelbagai pihak.

"Berdasarkan ucapan Saifuddin, tujuan pindaan ini dilaksanakan adalah untuk memastikan ada elemen kawalan untuk mengelak memberi kewarganegaraan kepada orang yang tidak layak.

"Bagaimanapun, isu yang kita tekankan ketika ini adalah anak-anak Malaysia yang tiada kewarganegaraan termasuk kanak-kanak dijumpai tanpa waris (foundling children), anak angkat, kes kehilangan atau keciciran dokumen, anak tidak sah taraf dan anak pada ibu bapa yang berstatus permastautin tetap.

"Mereka ini tidak patut disamakan dengan warga asing," katanya dalam sidang media selepas penyerahan memorandum bantahan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubungan kewarganegaraan di perkarangan pintu masuk Parlimen, hari ini.

Kueng Hui berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada, kerajaan memang sudah mempunyai kuasa dan elemen kawalan melalui Perkara 15(a) di mana kerajaan mempunyai hak budi bicara untuk memberi kerakyatan kepada anak-anak di bawah umur 21 tahun.

Sebelum ini, Saifuddin dalam ucapannya, berkata ada kes pasangan warga asing meninggalkan bayi yang baru lahir selepas bersalin di hospital dan ia dilakukan secara sengaja oleh warga asing kerana mereka tahu bahawa kanak-kanak itu secara automatik boleh mendapat kewarganegaraan Malaysia mengikut Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Kueng Hui berkata, jika sememangnya anak-anak dimaksudkan terbukti lahir dari ibu dan bapa warga asing, maka secara jelas, tidak sah untuk memperoleh kewarganegaraan melalui Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada.

"Elemen kawalan dalam pindaan ini adalah cubaan kerajaan untuk merampas hak Perlembagaan yang sedia ada dan meletakkan kuasa mereka melebihi Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Kueng Hui berkata, pindaan ini juga akan memudaratkan komuniti tanpa kewarganegaraan yang sedia ada, termasuk Orang Asli, Orang Asal Pribumi Sabah dan Sarawak, serta mewujudkan sebuah kelas baharu warga tanpa kerakyatan yang akan terus terperangkap dalam birokrasi yang tidak menentu.

Beliau menggesa wakil rakyat blok pembangkang melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai semak imbang yang berkesan dalam Dewan Rakyat.

Dalam majlis penyerahan memorandum hari ini, Ahli Parlimen DAP, Syerleena Abdul Rashid dan Ahli Parlimen PAS Datuk Seri Shahidan Kassim, mewakili blok masing-masing menerima memorandum bantahan dari parti MUDA.

Memorandum empat muka surat itu antaranya membantah cadangan pindaan Seksyen 19B, Bahagian III Jadual Kedua, 'Kuatkuasa undang-undang' digantikan kepada 'Pendaftaran'.

"Bagi maksud Bahagian I atau II Jadual ini, mana-mana kanak-kanak baru lahir yang dijumpai ditinggalkan tanpa perlindungan di mana-mana tempat hendaklah dianggap, sehingga dibuktikan sebaliknya, telah lahir di tempat itu dan ibunya bermastautin secara tetap di tempat itu; dan jika kanak-kanak itu dikira menurut kuasa seksyen ini telah lahir sedemikian, maka tarikh dia dijumpai hendaklah dikira sebagai tarikh lahirnya."

Kueng Hui berkata, kesan terhadap pindaan ini adalah kanak-kanak baru lahir yang dijumpai tanpa waris tidak lagi berhak mendapat kewarganegaraan secara automatik.

Pada masa ini, Perlembagaan Persekutuan melindungi kanak-kanak baru lahir yang dijumpai.

"Seksyen 19B adalah peruntukan keterangan yang memberi faedah kesangsian kepada mana-mana kanak-kanak baru lahir yang dijumpai, di mana tarikh dan tempat lahirnya, termasuk status ibu bapanya tidak diketahui dan tidak dapat dibuktikan.

"Pindaan tersebut akan menyebabkan kanak-kanak baru lahir yang dijumpai memperoleh kewarganegaraan melalui pendaftaran, dan meletakkan beban pembuktian ke atas kanak-kanak tersebut berkenaan identiti ibu bapanya.

"Dalam pada masa yang sama, saya juga ingin menyatakan bahawa proses pendaftaran yang sedia ada sarat dengan penangguhan, dan kelulusan yang tidak terjamin," katanya.

Bantahan lain termasuk cadangan pindaan Perkara 14(1)(b) seksyen 1(a) Bahagian II Jadual Kedua, ayat 'Mastautin Secara Tetap' dimansuhkan dari teks asal; Perkara 14(1)(b) Seksyen 1(e) Bahagian II jadual Kedua: terma kuatkuasa undang-undang digantikan kepada terma Pendaftaran dan Perkara 26(2) berkaitan dengan Perkara 15(1), terma 'Tarikh Perkahwinan' digantikan kepada 'Tarikh Mendapat Kewarganegaraan.'

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan membentangkan cadangan pindaan Perkara 14 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara di Parlimen bulan ini.

Beliau menjelaskan, ia bertujuan untuk meminda perkataan 'bapa' kepada 'ibu bapa' atau 'ibu atau bapa' selepas draf itu dibentangkan kepada Majlis Raja-raja.

Berita Harian X