Rabu, 13 March 2024 | 12:18pm

Kerajaan tidak bercadang angkat Kampung Baru sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk mengangkat Kampung Baru sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi memastikan pembangunan semula kawasan itu dapat diteruskan sebagaimana telah dirancang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata hal ini kerana pengiktirafan UNESCO akan membantutkan sebarang cadangan pembangunan di kampung berusia 125 tahun itu.

"Tambahan pula, pengiktirafan warisan mempunyai tiga peringkat bermula daripada tapak warisan yang diberikan oleh Jabatan Warisan Negara, diikuti warisan negara yang diberikan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, kemudian barulah warisan dunia yang diberikan oleh UNESCO.

"Pengiktirafan warisan di ketiga-tiga peringkat ini mempunyai beberapa kriteria yang perlu dipenuhi dan sesetengahnya tidak dapat dipadankan dengan ciri-ciri semasa Kampung Baru," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) yang ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai cadangan untuk menggazetkan Kampung Baru di Kuala Lumpur sebagai tapak warisan UNESCO.

Beliau berkata ketika ini, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) telah menyediakan Pelan Induk Pembangunan Kampong Bharu 2040 (PIPKB 2040) sebagai hala tuju perancangan dan pembangunan semula kampung di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur itu untuk tempoh 20 tahun akan datang.

Hala tuju dasar untuk membangunkan semula Kampung Baru, katanya akan dikekalkan selaras dengan pelan induk sedia ada dan PKB juga akan memastikan hak dan kepentingan orang Melayu di kawasan itu terpelihara.

"Antara perkara yang menjadi panduan pembangunan Kampung Baru ialah nilai kebudayaan dan pemuliharaan warisan alam bina, perancangan inovatif dalam pembangunan tanah, pemuliharaan dan penjanaan semula kawasan dan menjaga kepentingan pemilikan orang Melayu.

"Percayalah, kerajaan akan berusaha mengangkat Kampung Baru sebagai bandar Melayu yang tersergam dengan megah di Kuala Lumpur," katanya.

Kampung Baru diwujudkan pada 1899 hasil usaha dan desakan penduduk Melayu tempatan di Kuala Lumpur terhadap pentadbiran British Kolonial dengan Residen British Selangor bersetuju terhadap cadangan penubuhan Kampung Melayu di Kuala Lumpur terletak di antara Sungai Klang dan Jalan Batu.

Dr Zaliha berkata pemilikan hartanah di Kampung Baru adalah di bawah Malay Agricultural Settlement (MAS) dan dilindungi dengan sekatan kepentingan selaras Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 (Akta 733).

"Jadi, kita tidak boleh buat sebarang perkara melainkan merujuk akta ini yang bertujuan melindungi, memelihara dan memulihara kepentingan orang Melayu dan Kampung Baru akan dipromosikan sebagai bandar Melayu di Kuala Lumpur," katanya.

Berita Harian X