Rabu, 13 March 2024 | 12:12pm
Tangkap layar video tular kelibat tiga harimau belang melintas jalan dirakam pengguna jalan raya berhampiran Ladang Mados, Lenggor, Mersing, Johor malam tadi. - Foto tular
Tangkap layar video tular kelibat tiga harimau belang melintas jalan dirakam pengguna jalan raya berhampiran Ladang Mados, Lenggor, Mersing, Johor malam tadi. - Foto tular

3 harimau belang lintas jalan di Mersing

MERSING: Tiga harimau belang dilihat melintas jalan berhampiran Ladang Mados, Lenggor, di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.50 malam, seorang pengguna jalan merakam video kelibat tiga harimau belang berkenaan yang melintas jalan sebelum menuju ke kawasan hutan di situ.

Pengarah PERHILITAN Johor, Aminuddin Amin, berkata kakitangan agensi itu sudah dihantar ke lokasi berkenaan bagi membuat siasatan selepas video kelibat tiga harimau belang itu Tular sejak malam tadi.


Bagaimanapun, Aminuddin mengesahkan kawasan berkenaan adalah habitat semulajadi pelbagai spesis hidupan liar termasuk harimau belang berikutan lokasinya berhampiran Hutan Simpan Mersing.

Walaupun lokasi berkenaan jauh dari kawasan penempatan manusia, pihaknya akan memantau supaya populasi harimau belang itu tidak tersesat dan memasuki kawasan penempatan awam.

Sebelum ini memang sudah ada laporan mengenai kewujudan populasi harimau belang di kawasan berkenaan malah pengguna jalan raya di lokasi berkenaan pernah beberapa kali terserempak haiwan itu.

Namun ini kali pertama tiga ekor harimau belang yang dipercayai sekeluarga dikesan dan ditemui pengguna jalan raya di situ. Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan supaya hidupan liar berkenaan tidak diganggu.

Jangan buat provokasi terhadap harimau

"Pengguna jalan raya di situ yang terserempak dengan haiwan liar termasuk harimau yang melintas dinasihatkan supaya berhati-hati serta tidak melakukan sebarang provokasi termasuk membunyikan hon, memasang lampu tinggi atau pun keluar dari kenderaan bagi merakam video atau mengambil gambar.

"Adalah diingatkan harimau belang atau Harimau Malaya adalah hidupan liar yang terancam dan dilindungi sepenuhnya mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)," katanya ketika dihubungi.

Dalam video berdurasi 15 saat yang tular sejak malam tadi, tiga ekor harimau belang itu dilihat melintas jalan berhampiran Ladang Mados, dengan seekor daripadanya sempat memandang pengguna jalan raya sebelum menuju ke hutan.

Sementara itu, tinjauan di ruangan komen video tular itu mendapati warganet meminta pengguna jalan raya berhati-hati serta tidak mengganggu hidupan liar termasuk harimau di situ.

Warganet turut berharap pihak berkuasa termasuk PERHILITAN memantau lokasi berkenaan supaya haiwan terancam dan dilindungi dapat tinggal di habitat mereka tanpa gangguan.

Mereka juga berharap supaya habitat semulajadi hidupan liar terutama harimau belang tidak dimusnahkan supaya mereka dapat hidup dengan bebas.

"Alhamdulillah, masih wujud harimau belang di negara kita. Nampak sihat-sihat juga, hati-hati semua pengguna jalan raya, jangan ganggu mereka," kata warganet.

Seorang lagi warganet berharap, orang ramai dan pengguna jalan raya tidak menganggu dan memprovokasi haiwan liar berkenaan sehingga mereka bertindak agresif.

"Kewujudan harimau belang perlu dipertahankan supaya tidak pupus, oleh itu janganlah ganggu habitat semulajadi mereka termasuk tempat mereka cari makanan," kata warganet berkenaan.

Berita Harian X