Rabu, 13 March 2024 | 11:42am
Foto AGENSI
Foto AGENSI

Kerajaan tiada hasrat tutup TikTok, platform media sosial lain

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat menutup mana-mana platform media sosial pada masa ini, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Bagaimanapun, katanya kerjasama lebih baik diperlukan daripada platform media sosial berkaitan beberapa isu keselamatan.

"Beberapa langkah sedang dipertimbangkan kerajaan termasuk dalam isu berkaitan keselamatan seperti perkhidmatan dalam talian bagi kanak-kanak supaya dapat ditangani dengan lebih baik, begitu juga dengan bahan berkaitan pornografi dan jualan produk tidak patut," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (BN-Batu Pahat) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan akan menutup Tiktok dan media sosial lain yang memudaratkan seperti yang sudah dilaksanakan beberapa negara.

Fahmi berkata, sudah ada perbincangan dan kerjasama yang lebih baik dengan penyedia platform media sosial berkaitan beberapa isu terutama berkaitan undang-undang yang sesuai bagi manfaat rakyat sesuai keperluan semasa.

Katanya, pada masa ini, kerajaan berpandangan media sosial yang ada sekarang banyak membantu dari aspek ekonomi dan ia memberi banyak manfaat kepada rakyat.

Namun, katanya kerajaan mengambil maklum tindakan yang sudah di ambil beberapa negara berkaitan media sosial

"Seperti India, negara itu tidak membenarkan TikTok beroperasi sejak lima enam tahun lalu dan China juga TikTok tidak wujud langsung tetapi mereka ada platform lain dikenali Douyin.

"Di Amerika Syarikat, penutupan TikTok ada kaitan dengan isu pemilikan data bukan (berkaitan) aplikasi itu semata-mata, ia hanya dari segi pemilikan itu yang dipersoal negara itu," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Kamal Ashaari ( PN- Kuala Krau) mengenai kewarganegaraan digital yang diterapkan Kementerian Pendidikan dan perancangan kerajaan menangani penjualan bahan pornografi dalam X dan Telegram, katanya konsep kewarganegaraan digital ini merentasi kementerian dan ada beberapa modul perlu diteliti dan cadangan ini akan disusuli dengan perbincangan antara pihak yang terbabit.

Mengenai jualan bahan lucah pelbagai platform termasuk X dan Telegram, katanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sudah mengambil tindakan berhubung isu itu, yang mana sejak 1 Januari 2023 hingga 1 Mac lalu sebanyak 38 aduan sudah disiasat berkaitan kandungan bahan lucah mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 18 kes masih dalam siasatan, dua kes sudah dikeluarkan notis amaran manakala 18 tiada tindakan lanjut atau tiada kesalahan dizahirkan kerana bahan sudah dipadam dan diturunkan.

Terdahulu menjawab soalan asal Kamal mengenai had umur pengguna akaun media sosial, katanya kebanyakan penyedia platform media sosial mempunyai had umur pengguna akaun yang mana hanya mereka yang berumur 13 tahun ke atas saja dibenarkan membuka akaun media sosial.

Katanya, bagi memastikan syarat dipatuhi, ibu bapa atau penjaga bertanggungjawab untuk memantau dan mengawasi aktiviti dalam talian anak-anak mereka.

"Ini kerana kanak-kanak masih boleh mendapat manfaat kandungan positif dengan melayari media sosial bersama-sama ibu bapa atau penjaga. Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil serius peranan mereka dalam keibubapaan digital (digital parenting) serta perlu peka dalam menerokai kandungan serta platform alternatif yang terdapat di dalam talian," katanya.

Beliau menjelaskan Kementerian Komunikasi melalui SKMM juga bekerjasama dengan lima penyedia perkhidmatan di Malaysia iaitu CelcomDigi, Maxis, UMobile, Telekom Malaysia (TM) dan TIME untuk menyediakan perkhidmatan alatan perisian yang dikenali sebagai 'Parental Control Tools'.

Berita Harian X