Rabu, 13 March 2024 | 11:09am
Majlis Peguam sekali lagi menggesa supaya pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan termasuk mengenai status kanak-kanak terdampar dihentikan.
Majlis Peguam sekali lagi menggesa supaya pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan termasuk mengenai status kanak-kanak terdampar dihentikan.

Majlis Peguam gesa kerajaan hentikan pindaan regresif berkaitan kewarganegaraan

PUTRAJAYA: Majlis Peguam sekali lagi menggesa supaya pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan termasuk mengenai status kanak-kanak terdampar dihentikan.

Presidennya, Karen Cheah Yee Lynn, berkata pindaan itu disifatkan terlalu regresif dan membimbangkan kerana penghapusan hak individu tanpa kerakyatan tidak boleh dikaitkan dengan peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya, ia adalah hasil daripada ketidaksempurnaan, amalan birokrasi kompleks dan diskriminasi serta kurangnya ketelusan dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Kerajaan perlu menumpukan sumbernya kepada latihan pegawai JPN untuk menangani permohonan kewarganegaraan secara berkesan dan menghapuskan halangan birokrasi dan diskriminatif.

"Biarpun Majlis Peguam menyokong usaha kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia kerakyatan automatik, pindaan khusus berhubung 'statelessness' ini tidak lebih kepada belas kasihan yang hadir bersama pelbagai halangan dan alasan.

Karen Cheah Yee Lynn. - Foto fail NSTP
Karen Cheah Yee Lynn. - Foto fail NSTP

"Jadi pendirian Majlis Peguam ialah cadangan pindaan oleh kerajaan ini bersifat regresif dan kerajaan perlu menghentikannya dengan mengambil serius pandangan pelbagai pihak," katanya menerusi kenyataan.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, komposisi penduduk di negara ini terutama dengan adanya 3.5 juta warga asing, memerlukan kerajaan membuat pindaan kepada Jadual Kedua, Bahagian III, Seksyen 19(b) Perlembagaan Persekutuan, yang ketika ini memberi kewarganegaraan kepada kanak-kanak terdampar menerusi penguatkuasaan undang-undang.

Beliau bagaimanapun mengakui tidak boleh selama-lamanya menggunakan alasan keselamatan negara bagi tujuan itu seperti dibangkitkan sesetengah pihak.

Katanya, situasi semasa memerlukan kerajaan melakukan perkara yang betul dan mengelak kewarganegaraan diberi kepada mereka yang tidak layak.

Bayi ditinggalkan warga asing tak dapat kerakyatan automatik

Mengulas lanjut, Yee Lynn berkata, pindaan terhadap Jadual Kedua, Bahagian III, Seksyen 19(b) Perlembagaan Persekutuan berdasarkan terma 'penguatkuasaan undang-undang' akan menyebabkan kanak-kanak yang ditinggalkan, dikecualikan daripada kerakyatan automatik.

Pindaan terhadap Seksyen 1(a) Jadual Kedua, Bahagian Dua Perlembagaan Persekutuan untuk memadam perkataan 'penduduk tetap' (PR), bakal mengakibatkan kanak-kanak yang lahir kepada ibu bapa PR, tidak akan bernegara dan tidak lagi memiliki akses kepada kerakyatan berdasarkan 'penguatkuasaan undang-undang'.

"Pindaan lain yang disifatkan sebagai regresif ialah mengenai Perkara 26(2) Perlembagaan Persekutuan iaitu bagi menggantikan 'tarikh perkahwinan' kepada tarikh kerakyatan' serta pindaan ke atas Perkara 15(A) Perlembagaan Persekutuan iaitu mengurangkan had umur daripada 21 kepada 18 tahun bagi pendaftaran kerakyatan yang secara langsung memendekkan lagi tempoh permohonan," katanya.

Justeru, beliau berkata, Majlis Peguam akan terus membantah pindaan regresif terbabit dan tindakan badan itu selari dengan Perkara 15 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948.

Berita Harian X