Rabu, 13 March 2024 | 10:37am
Pengeluaran sayuran negara dijangka merosot sehingga 40 peratus mulai bulan depan kesan daripada krisis tenaga kerja apabila kerajaan membatalkan kuota pekerja asing yang tidak digunakan sebelum 31 Mac ini. - Foto fail NSTP
Pengeluaran sayuran negara dijangka merosot sehingga 40 peratus mulai bulan depan kesan daripada krisis tenaga kerja apabila kerajaan membatalkan kuota pekerja asing yang tidak digunakan sebelum 31 Mac ini. - Foto fail NSTP

Bekalan sayur bakal terjejas 40 peratus

JOHOR BAHRU: Pengeluaran hasil sayuran negara dijangka terjejas sehingga 40 peratus mulai bulan depan menyebabkan harganya di pasaran melambung susulan pengusaha tanaman menghadapi krisis tenaga kerja.

Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee, berkata ia berikutan pengumuman kerajaan baru-baru ini untuk membatalkan kuota pekerja asing yang tidak digunakan sebelum 31 Mac ini.

Katanya, senario itu akan menyebabkan harga sayuran di pasaran meningkat mendadak apabila bekalan sayuran berkurangan dengan hasil sayuran tidak dapat dikeluarkan seperti biasa akibat kekurangan tenaga kerja.

"Langkah kerajaan mengumumkan pembatalan kuota pekerja asing yang tidak digunakan sebelum 31 Mac ini sebenarnya mempunyai kesan yang besar terhadap sektor pertanian, khususnya sayuran negara yang bergantung sepenuhnya kepada tenaga kerja asing.

Lim Ser Kwee
Lim Ser Kwee

"Ia berikutan rakyat tempatan tidak berminat bekerja di ladang-ladang sayur kerana ia dianggap kerja 3D (sukar, bahaya dan kotor), sekali gus menyebabkan kebergantungan sektor ini kepada pekerja asing.

"Isu tenaga kerja kritikal di ladang sayuran negara baharu sahaja pulih selepas teruk terkesan ketika penularan wabak COVID-19. Namun, kita jangkakan ia akan kembali buruk bermula pertengahan Ramadan ini apabila majoriti tenaga kerja warga asing akan pulang ke negara asal bagi menyambut Aidilfitri dan bercuti panjang, malah ada antaranya dijangka tidak kembali semula ke negara ini.

"Dengan pembatalan kuota pekerja asing yang tidak digunakan sebelum akhir bulan ini berserta faktor pekerja asing pulang ke negara asal, kita jangkakan hasil pengeluaran sayuran negara akan merosot lebih 40 peratus dengan harganya juga bakal melambung di pasaran mulai bulan depan," katanya kepada BH, semalam.

Tak lanjut proses verifikasi

Pada 10 Mac lalu, kerajaan dilaporkan tidak akan melanjutkan proses verifikasi pekerja asing kepada semua majikan yang mendaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 sebelum 31 Mac ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata majikan yang memerlukan tenaga kerja asing diminta menyegerakan permohonan mereka selepas proses pengambilan pekerja terbabit sudah dipermudahkan.

Sebelum ini media melaporkan, Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng berkata pihaknya tidak bersetuju dengan langkah kerajaan membatalkan kuota pekerja asing yang tidak digunakan sebelum 31 Mac ini.

William berkata, keputusan itu tidak mengambil kira sifat dinamik landskap perniagaan negara ini.

Mengulas lanjut, itu, Ser Kwee berkata, majikan di sektor pertanian menghadapi situasi yang amat sukar susulan pengumuman pembatalan kuota pekerja itu menjelang akhir bulan ini.

Katanya, ia berikutan dalam waktu yang amat singkat, majikan perlu mencari pekerja dari negara sumber dan menguruskan pelbagai dokumen yang berkaitan.

Foto NSTP
Foto NSTP

Malah, katanya dalam tempoh singkat itu juga, majikan diwajibkan menyediakan pekerjaan, tempat tinggal, kemudahan dan ia memerlukan kos yang amat tinggi bagi menanggung segala perbelanjaan berkenaan.

"Majikan sektor pertanian yang telah mempunyai kelulusan kuota untuk menghadiri temu duga pengambilan pekerja juga perlu memuat naik Permit Akuan Penginapan Pekerja Akta 446 di Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), dengan proses mendapatkan permit itu biasanya mengambil masa kira-kira sebulan.

"Tambahan pula penamatan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing pada akhir Mei depan akan memburukkan lagi isu tenaga kerja di ladang sayuran, berikutan pekerja asing sektor pertanian yang kembali ke negara asal akan berdepan masalah memasuki semula dan bekerja di negara ini," katanya.

Sehubungan itu, Ser Kwee berharap kerajaan memberikan pengecualian kepada sektor pertanian membabitkan sayuran terhadap langkah pembatalan kuota pekerja asing.

"Ia bagi memastikan pengeluaran bekalan sayuran negara tidak terjejas, sekali gus tidak menyebabkan harga bahan mentah itu melambung di pasaran kerana bekalan yang tidak cukup, sehingga akhirnya meresahkan rakyat," katanya.

FAKTA

  • Jumlah pengeluaran sayur negara antara 650 tan (650,000 kg) hingga 1,000 tan (1 juta kg) sehari babitkan lebih 2,000 pengusaha ladang/kebun sayur

  • 200 hingga 350 tan sayur tempatan dieksport ke Singapura setiap hari

  • Lebih 35,000 pekerja asing diperlukan di ladang sayur seluruh negara
Berita Harian X