Rabu, 13 March 2024 | 9:54am
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. - Foto NSTP/Nadim Bokhari
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. - Foto NSTP/Nadim Bokhari

KPT tubuh jawatankuasa kaji trend penerbitan jurnal pemangsa

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menubuhkan satu jawatankuasa dianggotai pakar untuk memastikan jurnal akademik diterbitkan universiti mempunyai kualiti dan kredibiliti.

Menteri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata jawatankuasa itu bertujuan mengkaji trend penerbitan dalam jurnal pemangsa atau palsu dan penarikan balik artikel di semua universiti awam yang dilihat lebih berasaskan keuntungan.

Beliau berkata penerbitan artikel seperti itu menyebabkan negara menghabiskan jutaan ringgit untuk pembayaran kepada penerbit dan kurang menekankan aspek kualiti selain mempunyai kriteria penilaian yang lemah.

"Jawatankuasa ini juga akan mencadangkan beberapa usul bagi penambahbaikan untuk mengekang penerbitan dalam jurnal pemangsa seperti perkongsian senarai jurnal pemangsa dan pengunjuran semula kriteria dalam Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA)," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang mahu mengetahui langkah diambil KPT dalam usaha memastikan jurnal akademik yang diterbitkan universiti mempunyai kualiti dan kredibiliti.

Soalan itu dikemukakan rentetan laporan sebelum ini membabitkan seorang sejarawan Perancis yang mempertikai fakta sejarah pelayaran Melayu yang dikeluarkan dua ahli akademik Universiti Putra Malaysia (UPM).

Berkenaan isu penarikan balik artikel, Zambry menjelaskan pihak universiti akan menentukan langkah selanjutnya yang akan dikenakan terhadap penulis.

Terlebih dahulu, katanya siasatan dalaman berhubung isu berbangkit perlu dilakukan.

"Selain itu, pihak Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) juga telah mengeluarkan surat pekeliling yang bertarikh 13 Julai 2023 bagi melarang penggunaan dana kerajaan untuk tujuan pembayaran kepada penerbit tertentu.

"Secara keseluruhannya, kerajaan akan sentiasa berusaha memastikan pemerkasaan penerbitan berimpak tinggi yang akan menjadi kayu pengukur kecemerlangan universiti dan Institut Pengajian Tinggi (IPT," katanya.

Berita Harian X