Selasa, 12 March 2024 | 12:31pm
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta orang ramai supaya tidak membazir makanan sepanjang Ramadan yang sepatutnya jadi bulan beribadat. - Foto hiasan NSTP
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta orang ramai supaya tidak membazir makanan sepanjang Ramadan yang sepatutnya jadi bulan beribadat. - Foto hiasan NSTP

Pembaziran makanan meningkat 15-20 peratus pada Ramadan: CAP

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta orang ramai supaya tidak membazir makanan sepanjang Ramadan.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata kajian menunjukkan pembaziran makanan meningkat antara 15 hingga 20 peratus semasa Ramadan berbanding purata bulan lain.

"Ramadan sepatutnya menjadi bulan beribadat umat Islam tetapi bagi sesetengah orang ia menjadi bulan untuk menjamu selera dan membazir," katanya dalam kenyataan.

Katanya, kerakusan atau bersikap lahap juga boleh memberi kesan sampingan kesihatan yang serius seperti diabetes, penyakit koronari dan tekanan darah tinggi bagi mereka yang memuaskan hati dengan menurut hawa nafsu.

"Iftar berbuka puasa, secara tradisinya dilakukan di rumah bersama ahli keluarga atau di masjid dalam suasana kerohanian bertukar kepada 'pesta makan dengan 100 jenis hidangan' di hotel dan restoran yang menjadi sumber keuntungan perniagaan.

"Buang makanan adalah satu dosa memandangkan ia menafikan makanan bagi mereka yang memerlukan dan generasi masa hadapan," katanya.

Mohideen berkata, tujuan berpuasa ialah bagi merasakan kelaparan yang dialami golongan miskin dan terpinggir supaya kita mempunyai sikap empati kepada mereka.

Katanya, kini lebih dua juta rakyat Palestin menghadapi kebuluran jadi kita tidak sepatutnya buang begitu banyak makanan pada bulan yang suci ini.

Data pada Ramadan 2022 menunjukkan jumlah kutipan sisa pepejal sebanyak 252,521 tan berbanding 208,143 tan pada 2019.

Berita Harian X