Selasa, 12 March 2024 | 11:38am
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Marinah Mohd Ariffin
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Marinah Mohd Ariffin

Geran padanan rancakkan penyelidikan, inovasi, elak hasil kajian terperap

KUALA TERENGGANU: Peruntukan RM50 juta untuk geran padanan kerjasama universiti awam dan sektor swasta bagi merancakkan penyelidikan dan inovasi yang boleh dikomersialkan, mampu mengatasi masalah lambakan hasil kajian daripada 'terperap' sebagai dokumen saja.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Marinah Mohd Ariffin, berkata geran seumpama itu dapat mempercepatkan proses penghasilan projek penyelidikan kepada peringkat pengkomersialan.

"Dana khusus kepada aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan dan inovasi (RDCI) ini membuka ruang lebih besar kepada kami di universiti untuk menambah baik penyelidikan, seterusnya membawa hasil penyelidikan itu ke peringkat pengkomersialan.

"Kita tidak mahu lihat hasil kajian yang didaftarkan sebagai intelek hanya terperap sebagai dokumen yang dorman. Ia perlu dikomersialkan supaya dapat memberi manfaat kepada semua," katanya.

Menerusi Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan RM510 juta tersedia sebagai dana penyelidikan dan pembangunan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang merangkumi RM50 juta sebagai geran padanan kerjasama universiti awam dan sektor swasta.

Marinah berkata, peruntukan itu turut memberi kesan positif kepada rakyat dengan pembangunan produk baharu oleh penyelidik dapat menjamin kemampanan ekonomi negara.

Sebagai contoh, beliau berkata, 11 syarikat pemula berasaskan penyelidikan yang dijalankan UMT berjaya diwujudkan sejak 2022.

Sementara itu, Dekan Fakulti Biosumber dan Industri Makanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) (Kampus Besut), Prof Dr Hafizan Juahir berpandangan peruntukan itu dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang negara dan melahirkan masyarakat lebih berdaya.

Beliau berkata, ia juga membolehkan lebih banyak penyelidikan memanfaatkan komuniti dilaksanakan seperti beberapa program UniSZA di bawah Projek Ladang Komuniti Lestari (PLKL) bertujuan menjana pendapatan komuniti setempat menerusi tanaman kontan terpilih.

"Sebagai contoh Projek Ladang Keledek Vitato oleh pelajar dan penyelidik UniSZA pada awal tahun lalu membabitkan tanah seluas lebih tujuh hektar di Kampus UniSZA di Besut berjaya menghasilkan 12 produk daripada tanaman itu seperti mi, kerepek dan aiskrim," katanya.

Beliau berkata, pengeluaran hiliran produk ubi keledek Vitato berpotensi memberikan saluran baharu penjanaan pendapatan khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana dalam komuniti. – BERNAMA

Berita Harian X