Selasa, 12 March 2024 | 8:12am
Attar Azim (kiri) bersama sepupunya, Fareez Uzair, 10, di kediaman datuk dan nenek di Felda Trolak Utara. - Foto ihsan keluarga
Attar Azim (kiri) bersama sepupunya, Fareez Uzair, 10, di kediaman datuk dan nenek di Felda Trolak Utara. - Foto ihsan keluarga

Budak yatim piatu pindah sekolah ke Felda Trolak Utara

TANJUNG MALIM: Budak lelaki yang kehilangan empat ahli keluarga termasuk ibu bapanya dalam kemalangan di Kuala Krai pada awal bulan ini, Attar Azim Syukran Jamil akan berpindah sekolah.

Anak yatim piatu berusia sembilan tahun itu akan berpindah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Pandan, Kuala Lumpur ke SK Trolak Utara, dekat Felda Trolak Utara di sini.

Berkongsi perkembangan itu, ibu saudaranya, Umi Salwa Ab Hamid, 40, berkata urusan pertukaran sekolah sedang diuruskan oleh ahli keluarga dan anak saudaranya itu dijangka memulakan sesi persekolahan baharu pada Isnin minggu depan.

"Attar Azim sekarang tinggal bersama datuk dan nenek sebelah ayahnya di Felda Trolak Utara.

"Di sini, ada ramai kawan dan sepupu yang sebaya dengannya. Attar Azim kelihatan gembira hendak bersekolah di sini," katanya dihubungi, hari ini.

Umi Salwa berkata, keputusan itu dibuat atas persetujuan semua ahli keluarga dan Attar Azim sendiri.

"Memandangkan saya tinggal bersama mak abah, memang saya la yang ambil alih membantu mak abah untuk menjaga Attar Azim.

"Kami adik-beradik memang sepakat dan rapat. Insya-Allah kami akan menjaga amanah ini dengan penuh tanggungjawab," katanya.

Pada 2 Mac lalu, media melaporkan nahas membabitkan dua kenderaan yang meragut nyawa empat beranak di Kilometer (KM) 76.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi di Kuala Krai, Kelantan.

Attar Azim (kanan) selamat dalam tragedi yang turut mengorbankan ibu bapa dan dua adiknya di Kilometer 76.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi, di Kuala Krai, 2 Mac lalu. - Foto ihsan keluarga
Attar Azim (kanan) selamat dalam tragedi yang turut mengorbankan ibu bapa dan dua adiknya di Kilometer 76.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi, di Kuala Krai, 2 Mac lalu. - Foto ihsan keluarga

Dalam nahas 1.40 tengah hari itu, Syukran Jamil Ab Hamid, 35, bersama isteri Noor Aishah Razali, 35, dan anak mereka, Lufya Adeena, 1, disahkan maut di lokasi kejadian, manakala Ahya Rafiqi, 6, meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Attar Azim adalah satu-satunya penumpang yang terselamat dalam nahas itu.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dipandu Syukran Jamil dari arah Kota Bharu menghala ke Gua Musang, dirempuh Nissan March dipandu warga Thailand yang masuk ke laluannya dari arah bertentangan.

Lima sekeluarga itu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menziarahi ahli keluarga dan bercuti di Kota Bharu, Kelantan.

Jenazah Syukran Jamil dan Noor Aishah bersama dua anak mereka, Ahya Rafiqi, serta Lufya Adeena, selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara, jam 11 malam pada 3 Mac lalu.

Berita Harian X