Isnin, 11 March 2024 | 6:51pm
Dr Noor Hisham pada sidang media IJN menyambut kejayaan pemindahan jantung dua pesakit di IJN, Kuala Lumpur hari ini.- Foto NSTP/Nur Raihana Alia
Dr Noor Hisham pada sidang media IJN menyambut kejayaan pemindahan jantung dua pesakit di IJN, Kuala Lumpur hari ini.- Foto NSTP/Nur Raihana Alia

Malaysia perlu lebih ramai penderma organ

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan lebih banyak penderma organ seperti jantung, buah pinggang dan pankreas bagi memastikan kejayaan pemindahan organ di negara ini.

Pengerusi Institut Jantung Negara (IJN), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata seramai 382,020 rakyat Malaysia telah berikrar untuk menderma organ sejak 1997, tetapi hanya 0.02 peratus yang menderma organ pada akhirnya.

"Untuk mengelakkan masalah ini daripada berlaku, perlu ada kerjasama padu antara semua pihak untuk memastikan kejayaan pemindahan organ. Perubahan dari segi dasar perlu dilakukan untuk menggalakkan pendermaan organ dalam kalangan rakyat Malaysia.

""Salah satu pilihan yang kita boleh lakukan adalah jadikan semua rakyat Malaysia sebagai penderma organ (secara automatik). Sekiranya tidak mahu mereka boleh menarik diri atau 'opt out' daripada menjadi penderma, berbanding meminta rakyat daripada mendaftar secara sukarela.

"Jika kita tidak mampu meningkatkan jumlah pendermaan organ, bagaimana kita hendak menjalankan pemindahan? Ramai rakyat Malaysia yang sangat mengharapkan organ," katanya pada sidang media IJN menyambut kejayaan dua pemindahan jantung, di sini, hari ini.

Kakitangan IJN meraikan salah seorang penerima jantung, Muhammad Farhan Irfan (duduk kiri) selepas menghidap masalah jantung empat tahun lalu. - Foto NSTP/Nur Raihana Alia
Kakitangan IJN meraikan salah seorang penerima jantung, Muhammad Farhan Irfan (duduk kiri) selepas menghidap masalah jantung empat tahun lalu. - Foto NSTP/Nur Raihana Alia

Beliau berkata, Malaysia perlu mencontohi Turkiye iaitu salah satu daripada negara Islam yang berjaya melaksanakan sebanyak 768 pendermaan organ di 15 pusat jantung di negara itu dari tahun 2008 hingga 2020.

"Di sana (Turkiye), pengurusan sangat baik. Malah, ramai pakar dari negara kita dihantar ke sana untuk belajar lebih lanjut.

"Rugi kalau kita ada kepakaran, namun tidak ada organ yang diterima. Walaupun ada yang sudah berikrar, apabila telah sampai masanya, keluarga tidak memberi kebenaran," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IJN, Datuk Dr Aizal Azan Abdul Rahim, berkata masalah kekurangan penderma bukan sahaja dihadapi oleh IJN tetapi juga dihadapi seluruh dunia.

"Kepentingan penderma organ ini dapat memberikan peluang kedua kepada pesakit untuk terus hidup. Peluang kedua ini sukar untuk didapati. Dari segi rawatan, teknologi sudah berubah. Rawatan bertambah baik, berbanding 30 tahun lalu. Jumlah pesakit juga semakin lama semakin kurang.

"Sekarang ada teknologi peranti capaian vaskular implan (IVAD) sebesar tapak tangan sahaja. Ia lebih efektif berbanding (alat yang digunakan) dulu yang sebesar peti sejuk.

"Di negara barat mereka gunakan alat ini sebagai pengganti pemindahan jantung untuk membantu pesakit tahap akhir kegagalan jantung. Mereka dapat hidup lebih lama dengan mengurangkan gejala lemah jantung," katanya.

Sementara itu, penerima jantung, Muhammad Farhan Irfan Mohd Razif, 20, berkata beliau mula menghidap masalah jantung bermula empat tahun lalu.

"Ketika itu saya perlu mengambil pelbagai jenis ubat dan perlu berjumpa dengan ramai doktor setiap hari. Saya diminta untuk ke IJN untuk mendapatkan rawatan lebih lanjut. Sekarang kesihatan saya sudah lebih baik.

"Sekarang saya perlu kuatkan semangat untuk sihat semula. Perbezaan yang saya dapat rasakan adalah sebelum ini saya cepat penat dan letih. Apabila menerima jantung baharu setakat ini saya tidak mempunyai masalah untuk berjalan jauh," katanya.

Bagi Kang Jing Yung iaitu abang kepada penerima jantung, Danielle Kang Yu Xin beliau bersyukur untuk menjalani pemindahan jantung.

"Dia sangat bertuah kerana ada penderma yang mendermakan jantung dalam masa empat hari. Ia seperti satu keajaiban. Sekarang sudah 16 hari berlalu selepas beliau menjalani pembedahan," katanya.

Setakat ini IJN telah berjaya menjalankan 29 pemindahan jantung, enam pemindahan paru-paru, enam pemindahan jantung-paru-paru, 36 pemindahan LVAD dan tujuh prosedur pemindahan LVAD kepada jantung.

Berita Harian X