Isnin, 11 March 2024 | 6:02pm

JAWHAR, yayasan wakaf perlu pergiat agihan dana secara menyeluruh

KUALA LUMPUR: Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Waqaf Malaysia perlu segera mempergiat segmen pengagihan dana wakaf bagi memastikan manfaatnya dinikmati masyarakat secara keseluruhan, tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata penentuan segmen hendaklah mengambil kira pendapatan mengikut kumpulan isi rumah ditetapkan.

Beliau berkata, JAWHAR dan yayasan berkenaan juga perlu meneroka konsep Wakaf Bertempoh atau Wakaf Muaqqat sebagai sumber dana alternatif bagi membangunkan tanah wakaf di seluruh negara dengan pembabitan syarikat korporat, dana luar negara, GLC, GLIC dan individu.

"Usaha pembangunan perlu memberi fokus kepada projek yang berimpak tinggi, berdaya maju dan mapan untuk meningkatkan nilai aset wakaf di seluruh negara.

"Usaha penerokaan ini meliputi sektor yang berpotensi untuk dimajukan seperti kesihatan, pendidikan, perumahan, sekuriti makanan dan pembangunan ekonomi serta komuniti," katanya berucap merasmikan Bulan Wakaf Kebangsaan 2024 - Wakaf Membangun Malaysia MADANI, di sini, hari ini.

Turut sama hadir, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim; Ketua Pangarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff serta Ketua Pengarah JAWHAR, Datuk Selamat Paigo.

Beliau berkata, JAWHAR dan Yayasan Waqaf Malaysia perlu menggembleng tenaga bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) supaya usaha melonjakkan potensi wakaf dapat direalisasikan pada 2030.

"Antaranya menerusi penambahbaikan dan pelaksanaan transformasi dalam institusi berkaitan wakaf; pemerkasaan perundangan wakaf; penambahan sumber pendanaan dan pembiayaan wakaf; dan peningkatan kesedaran dan pembudayaan wakaf," katanya.

Beliau berkata, bersama-sama MAIN dengan pembabitan syarikat korporat, mereka juga perlu melaksanakan Wakaf Produktif atau Wakaf Ekonomi yang akan diaplikasi sama ada di atas hartanah wakaf sedia ada bagi mengoptimumkan penggunaan tanah wakaf atau mewujudkan aset wakaf baru melalui kaedah Sijil Wakaf.

"Konsep ini tidak hanya tertumpu kepada bangunan semata-mata, tetapi turut merangkumi projek pertanian, perladangan dan lain-lain yang bersesuaian, yang mampu membantu pembangunan ekonomi negara.

"Di bawah konsep ini juga, sumber dana daripada wakaf tunai untuk tujuan menjalankan perniagaan boleh diwujudkan. Penyaluran dana kepada usahawan berpotensi mampu memberikan impak dalam bentuk kemapanan perniagaan, peningkatan pendapatan dan penyediaan peluang pekerjaan," katanya.

Beliau juga menggalakkan ilmuwan yang ada di institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menghasilkan pelbagai kajian ilmiah yang mampu memberi pedoman kepada pemain-pemain wakaf untuk bergerak dengan langkah derap yang lebih padu.

"Hala tuju digariskan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 bagi menggalakkan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi perlu direbut supaya impian ini dapat diterjemahkan dalam bentuk yang praktikal dan dilaksanakan oleh semua pihak," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kutipan terkumpul wakaf tunai yang dicatatkan Yayasan Waqaf Malaysia sudah meningkat sebanyak 54 peratus kepada RM39,550,462.18 pada 31 Disember lalu, berbanding RM25,679,125.87 yang direkod pada 31 Disember 2021.

"Dari segi agihan pula, sejumlah RM24,694,257.45 bersamaan hampir 60 peratus sudah sudah dibelanjakan sehingga 31 Disember 2023.

"Sebagai contoh, menerusi produk Wakaf Air bagi tujuan menyalurkan bekalan air bersih kepada masyarakat, sejumlah RM3.5 juta diagihkan untuk pelaksanaan 75 projek di seluruh negara, melibatkan 7,734 buah rumah yang sudah memberi manfaat kepada 40,008 penduduk," katanya.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar (dua kiri) bersama Ketua Pengarah JAWHAR, Datuk Selamat Paigo (tiga kiri) dan Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim (empat kiri) melancarkan Buku Amalan Tadbir Urus Wakaf di Universiti Awam Malaysia terbitan JAWHAR di Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan 2024 di Sasana Kijang. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar (dua kiri) bersama Ketua Pengarah JAWHAR, Datuk Selamat Paigo (tiga kiri) dan Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim (empat kiri) melancarkan Buku Amalan Tadbir Urus Wakaf di Universiti Awam Malaysia terbitan JAWHAR di Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan 2024 di Sasana Kijang. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Berita Harian X