Isnin, 11 March 2024 | 5:19pm
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menggulung perbahasan Titah Diraja bagi pihak kementeriannya pada Sidang Dewan Rakyat, hari ini. - BERNAMA
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menggulung perbahasan Titah Diraja bagi pihak kementeriannya pada Sidang Dewan Rakyat, hari ini. - BERNAMA

Komposisi penduduk tuntut kerajaan pinda peruntukan anak terdampar

KUALA LUMPUR: Komposisi penduduk di negara ini terutama dengan adanya 3.5 juta warga asing, memerlukan kerajaan membuat pindaan kepada Jadual Kedua, Bahagian III, Seksyen 19(b) Perlembagaan Persekutuan, yang ketika ini memberi kewarganegaraan kepada kanak-kanak terdampar menerusi penguatkuasaan undang-undang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengakui tidak boleh selama-lamanya menggunakan alasan keselamatan negara bagi tujuan itu seperti dibangkitkan sesetengah pihak.

Bagaimanapun, katanya, situasi semasa memerlukan kerajaan melakukan perkara yang betul dan mengelak kewarganegaraan diberi kepada mereka yang tidak layak.

Justeru, katanya, pindaan bagi peruntukan di bawah Perlembagaan berhubung peruntukan hak kewarganegaraan kanak-kanak itu adalah persiapan negara untuk masa akan datang.

"Ada kemudahan seperti 'Baby Hatch' di hospital, klinik swasta dan sebagainya.

"Selain itu, berlaku kelahiran oleh warga asing bersama pasangan yang terang-terangan bukan warganegara di hospital. Mereka keluar begitu sahaja, bil hospital tidak dibayar dan berjumlah ratusan juta. Kita ada angka.

"Dia tinggalkan (bayi) begitu sahaja sebab dia tahu anak lahir di sini boleh dapat terus (kewarganegaraan), jadi dia tinggalkan.

"Dulu pada 1963 (ketika Perlembagaan Persekutuan digubal) ini tidak berlaku tapi sekarang, dengan 3.5 juta warga asing, ia mengubah landskap dari segi komposisi negara kita," katanya pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim dilapor menyuarakan ikrar membantah cadangan itu, terutama peruntukan yang mahu disekat kerajaan mengenai hak anak-anak mendapat kerakyatan automatik.

Ahli Parlimen PKR itu berkata, tiada sebab untuk meminda peruntukan yang memberikan kewarganegaraan kepada kanak-kanak terdampar melalui undang-undang sedia ada yang disifatkannya baik, penuh rasa ehsan, timbang rasa dan kemanusiaan.

Saifuddin berkata, berdasarkan rekod, hanya 142 permohonan kewarganegaraan bagi anak terdampar diterima dari 2014 hingga 2024 dan semuanya sudah diberikan keputusan.

Bagi membolehkan kelulusan permohonan diperoleh melalui kuat kuasa undang-undang, pemohon mesti menyediakan laporan polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan hospital.

"Itu bagi anak terdampar yang tali pusatnya masih ada tapi jika anak terdampar itu tiada laporan disediakan, anak itu sudah berusia tiga, lima, tujuh atau 10 tahun, itu kita akan proses di bawah Perkara 15A kerana ia tidak mematuhi tafsiran di bawah 19(b).

"Jadi, adakah peluang untuk menjadi warganegara itu tertutup? Tidak kerana kita proses di bawah 15A, yang mana jumlah permohonannya sebanyak 59,000 permohonan, maknanya membabitkan anak lahir di luar ikatan perkahwinan, anak angkat, anak di bawah penjaga dan sebagainya," katanya.

Saifuddin memaklumkan, jika pindaan Perlembagaan berhubung hak kewarganegaraan itu diluluskan, sebanyak 14 akta dan peraturan warganegara lain akan dipinda.

Menjawab cadangan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) supaya kerajaan hanya memberi fokus kepada pindaan kepada undang-undang mengenai anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara serta mengasingkan dahulu pindaan lain, Saifuddin berkata, perkara itu sudah dibincang dalam Kabinet dan ditolak.

"Perkara ini dibentang kepada Majlis Raja-Raja yang juga tidak memberi perkenan terhadap formula pengasingan ini.

"Saya tidak mahu panjangkan atau buka balik (isu ini) tapi untuk dibahas, tiada masalah," katanya.

Berita Harian X