Isnin, 11 March 2024 | 3:50pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Skop pengecualian cukai B2B bagi logistik diperluas

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memperluas skop pengecualian cukai perniagaan ke perniagaan (B2B) perkhidmatan logistik, meliputi penyediaan perkhidmatan di bawah butiran sama.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata layanan khas Cukai Perkhidmatan (CP) itu meliputi beberapa perkhidmatan iaitu perkhidmatan logistik bagi barang dieksport terus dan pengecualian cukai ke atas aktiviti pindah kapal.

Katanya, pengecualian cukai turut diberi ke atas perkhidmatan logistik door-to-door dan aktiviti B2B perkhidmatan logistik.

"Ia bertujuan mengurangkan cukai berganda atau kesan melata daripada pengenaan cukai atas cukai bagi beberapa lapisan rantaian bekalan logistik.

"Penyedia yang baru berdaftar diberi tempoh persediaan sebulan manakala CP enam peratus hanya dikenakan mulai 1 April ini.

"Contohnya, penyedia perkhidmatan penghantaran fret bukan hanya menerima pengecualian ke atas perkhidmatan fret tetapi juga layak mendapat pengecualian ke atas perkhidmatan lain seperti penggudangan, pelabuhan, perkapalan dan rantaian sejuk dalam butiran sama.

"Kerajaan berharap layanan khas ini dapat terus menyokong pertumbuhan sektor logistik negara, sekali gus memastikan pengguna termasuk peniaga tidak terbeban," katanya menggulung perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Amir Hamzah berkata, seramai 5.6 juta individu direkodkan memiliki simpanan kurang RM10,000 dalam simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat Januari lalu.

Beliau berkata, ia berpunca daripada struktur gaji rendah iaitu 38 peratus atau 2.9 juta ahli aktif sektor formal menerima gaji kurang RM2,000 sebulan, selain umur pengeluaran penuh tidak selaras dengan usia persaraan, caruman ahli tidak konsisten serta guna tenaga tidak penuh apabila 1.2 juta ahli aktif didapati tidak mencarum dalam tempoh tiga bulan.

Berdasarkan unjuran, katanya, ahli berusia 18 tahun sepatutnya memiliki simpanan bernilai RM479,000 dalam Akaun Satu pada umur 55 tahun, jika mencarum secara konsisten dengan gaji minimum RM1,500.

"Program sedang dilaksanakan seperti i-Saraan, caruman sukarela dan mencarum melebihi kadar berkanun yang ditetapkan juga menunjukkan pencapaian positif.

"Hasilnya, jumlah ahli aktif formal yang mencapai Simpanan Asas menunjukkan peningkatan.

"Bilangan ahli aktif formal KWSP baharu mencapai Simpanan Asas bertambah lebih 210,000 ahli, menjadikan keseluruhan seramai 2.4 juta ahli atau 33 peratus daripada ahli aktif formal KWSP, setakat Disember lalu.

"Jumlah ahli membuat caruman sukarela pada 2023 juga meningkat kepada 906,000 ahli, iaitu peningkatan 17 peratus, berbanding tahun 2022.

"Lebih 380,000 ahli turut membuat caruman sukarela di bawah program i-Saraan tahun lalu, iaitu peningkatan 31 peratus atau 91,000 ahli berbanding 2022," katanya.

Berita Harian X