Isnin, 11 March 2024 | 3:11pm
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki beramah mesra bersama pelajar ketika mengadakan lawatan sempena Hari Pendaftaran Tingkatan 1, 2024 di Dewan Al-Ghazali, MRSM Kuala Kubu Bharu. - Foto ASYRAF HAMZAH
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki beramah mesra bersama pelajar ketika mengadakan lawatan sempena Hari Pendaftaran Tingkatan 1, 2024 di Dewan Al-Ghazali, MRSM Kuala Kubu Bharu. - Foto ASYRAF HAMZAH

Bilangan pelajar B40 daftar MRSM lebih 80 peratus - Asyraf Wajdi

KUALA KUBU BHARU: Pelajar daripada kumpulan keluarga berpendapatan rendah B40 yang mendaftar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara hari ini melebihi 80 peratus, tertinggi daripada jumlah keseluruhan tahun sebelumnya.

Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berkata, pada sesi pendaftaran hari ini, jumlah pelajar B40 adalah seramai 7,424 orang.

Katanya, kemasukan itu adalah melebihi 6,000 tawaran yang sepatutnya diberikan kepada pelajar kelompok itu yang ditempatkan di MRSM di seluruh negara.

"Setakat ini sejumlah 76 peratus pelajar sudah melakukan pendaftaran di 57 MRSM di seluruh negara dan pada tahun ini, kuota kemasukan pelajar B40 adalah begitu memberangsangkan sekali.

"Sepatutnya, kita hanya mempunyai dasar kemasukan 60 peratus pelajar B40 sahaja tetapi disebabkan ramai murid kumpulan ini mendapat keputusan persekolahan yang cemerlang, kita tetap membuka penawaran ini, sekali gus pada tahun ini, jumlah kemasukan daripada kelompok B40 adalah teramai berbanding tahun sebelumnya," katanya ketika ditemui selepas hadir pada program pendaftaran pelajar MRSM Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai alasan pelajar yang tidak mendaftar di MRSM pada tahun ini, Asyraf berkata, kebiasaanya ia membabitkan pelajar yang menerima beberapa tawaran daripada institusi berbeza seperti sekolah berasrama penuh yang lain.

"Jadi apabila ada dua pilihan contohnya, mereka akan memilih sama ada mahu ke MRSM atau ke institusi pendidikan lain dan ia ada fenomena biasa yang berlaku pada setiap tahun.

"Bagaimanapun, saya masih menunggu maklumat sekiranya ada yang menolak mendaftar ke MRSM disebabkan faktor kewangan dan ia memerlukan kepastian terlebih dulu," katanya.

Beliau menjelaskan, faktor kewangan untuk kemasukan MRSM seharusnya tidak menjadi alasan memandangkan MARA sangat berkompromi untuk membantu mereka yang terkesan dengan masalah ini seperti menangguhkan dahulu pembayaran yuran.

"Sebelum hari pendaftaran, kita sudah mengarahkan MRSM untuk menghubungi setiap pelajar yang menerima tawaran dan kita mahu mendengar alasan mereka sekiranya adanya penolakan. Kita mahu kepastian sebab apa mereka tolak.

"Jika disebabkan kos pembelajaran yang tinggi, kita akan minta mereka masuk dahulu dan tangguh yuran pendaftaran mereka. Mereka juga boleh memohon program bantuan kewangan pendidikan (BUDI), bantuan uniform sekolah dan wang saku juga boleh diberikan. Jadi tiada alasan faktor kemiskinan untuk tidak mahu masuk MRSM," katanya.

Ditanya mengenai jumlah kemasukan bukan Bumiputera ke MRSM, Asyraf Wajdi berkata, kebiasaannya pelajar daripada kaum India yang paling ramai ramai memohon.

"Mengenai pelajar dari kaum Cina, saya akui memang kurang daripada dahulu lagi, walaupun ketika itu, kita buka 10 peratus kepada bukan Bumiputera. Kita nampak pelajar dari kaum India lebih berminat belajar di sini.

"Seperti di KKB hari ini, kita ada lapan pelajar baharu daripada kaum India yang akan bersama-sama menuntut dan mencari ilmu di sini," katanya.

Berita Harian X