Isnin, 11 March 2024 | 12:41pm
Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah (kanan) melawat tapak kawasan Madinah Ramadan di sini, hari ini. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah (kanan) melawat tapak kawasan Madinah Ramadan di sini, hari ini. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR

Peniaga jual tapak bazar Ramadan akan ditarik lesen perniagaan

KOTA BHARU: Peniaga yang menjual lesen bazar Ramadan kepada pihak ketiga demi mengaut keuntungan berganda, bakal berdepan tindakan termasuk lesen ditarik.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah, berkata dianggarkan hampir 200 tapak bazar Ramadan akan dibuka mulai esok.

Katanya, pihaknya akan memantau dari semasa ke semasa supaya tiada peniaga cuba mengambil kesempatan dengan menjual tapak kepada pihak ketiga.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah pihak yang mengeluarkan lesen kepada penganjur. Berapa harga sewa tapak yang diberikan kepada peniaga bergantung kepada penganjur.

"Namun isu yang dikaitkan dengan sewa tapak bazar Ramadan selalunya peniaga ali baba lesen demi mengaut keuntungan berganda.

"Justeru saya mengingatkan peniaga supaya tidak menjual lesen bazar Ramadan kepada pihak ketiga dan sekiranya kita mendapati mereka berbuat demikian, lesen niaga mereka akan ditarik," katanya pada sidang media selepas melawat tapak Madinah Ramadan di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan peniaga supaya menitikberatkan aspek kebersihan sepanjang Ramadan.

Terdahulu, mengulas mengenai Madinah Ramadan, pihaknya memerlukan RM1.4 juta bagi menampung segala aktiviti sepanjang Ramadan.

"Setakat ini peruntukkan RM1 juta sudah ada dan kita memerlukan RM400,000 lagi dan sumbangan pelbagai pihak amat diperlukan," katanya.

Berita Harian X