Ahad, 10 March 2024 | 10:18pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Pengundian semula PEMILU 2024 di Kuala Lumpur lancar, terkawal

KUALA LUMPUR: Proses pengundian semula Pilihan Raya Umum Indonesia (PEMILU 2024) bagi seluruh kawasan Kuala Lumpur yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini, berlangsung dengan lancar dan terkawal.

"Lancar, tidak ada gaduh-gaduh dan lebih lengang sepi," kata sumber Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.

Katanya, kira-kira 6,000 pengundi hadir untuk proses pengundian semula itu.

"Namun jumlah sebenar pengundi yang hadir di WTC hanya akan diketahui penganjur proses pengundian semula PEMILU 2024 di Kuala Lumpur iaitu Komisi Pemilihan Umum (KPU)," katanya.

Pusat mengundi di WTC bagi warga Indonesia di perantauan sempena PEMILU 2024 adalah yang terbesar di dunia.

Katanya, pengundian menerusi Kotak Suara Keliling (KSK) atau peti undi bergerak yang sepatutnya dibawa ke kilang, lokasi bekerja dan penempatan warganegara Indonesia di Malaysia tidak dapat dilaksanakan kerana ada tempat kerja yang ditutup hari ini kerana cuti hujung minggu.

Selain itu, maklumat daripada KPU mengenai proses pengundian semula yang dimaklumkan pada saat akhir menjadikan banyak pengundi tidak dapat hadir di WTC.

"Susulan itu, kertas undi daripada KSK dijangka jauh lebih rendah," katanya.

Proses pengundian semula itu membabitkan 22 Tempat Pemungutan Suara (TPS) dan 120 KSK atau peti undi bergerak.

Antara yang mengundi pada proses pengundian semula hari ini ialah Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono.

Sabtu lalu, Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur dalam satu hantaran di laman Facebooknya memaklumkan ia menerima pemberitahuan rasmi daripada KPU Pusat Jakarta untuk mengadakan proses pengundian semula PEMILU 2024 bagi seluruh kawasan Kuala Lumpur.

Laporan media Indonesia menyatakan pengundian semula itu membabitkan 62,217 pengundi berdaftar daripada 42,372 individu yang akan mengundi di WTC dan 19,845 individu melalui peti undi bergerak di 120 lokasi.

Pengundian semula dilakukan selepas polis Indonesia mendapati terdapat unsur jenayah pelanggaran pilihan raya membabitkan manipulasi data dan pemalsuan dilakukan tujuh Panitia Pemilihan Luar Negeri Kuala Lumpur. – BERNAMA

Berita Harian X