Ahad, 10 March 2024 | 6:38pm
Fahmi mengambil peluang mencuba khidmat urut daripada Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) pada Program Kem Kesihatan Mata, hari ini. - FOTO BERNAMA
Fahmi mengambil peluang mencuba khidmat urut daripada Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) pada Program Kem Kesihatan Mata, hari ini. - FOTO BERNAMA

'Kita tidak boleh arah Speaker buat apa-apa' - Fahmi

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata kerajaan hanya ingin memberi maklum balas dan berkongsi idea berhubung perkara yang berlaku di dalam Dewan Rakyat, apabila mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertuanya.

Beliau menjelaskan, perjumpaan antara Ketua Majlis Mesyuarat Parlimen, Ketua Pembangkang atau Ahli Parlimen dengan Speaker bagi mendapatkan nasihat, pandangan atau bertukar-tukar fikiran dari semasa ke semasa, adalah perkara biasa di Dewan Rakyat.

"Tidak lebih daripada itu... kita tidak boleh mengarahkan Speaker buat apa-apa. Contohnya ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor (Datuk Wan Saiful Wan Jan) mohon maaf itu selepas ada pertemuan dengan Speaker.

"Kalau tidak silap saya, Ketua Pembangkang yang bertemu dengan Speaker. Justeru, bertemu dengan Speaker adalah sesuatu yang biasa di Dewan Rakyat," katanya kepada pemberita pada program pemeriksaan kesihatan mata di Lembah Pantai, hari ini.

Fahmi berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataannya pada Jumaat lalu bahawa Jemaah Menteri akan berhubung dengan Pejabat Speaker Dewan Rakyat bagi membincangkan perihal kenyataan Ahli Parlimen yang didakwa tidak benar ketika sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja sejak dua minggu lalu.

Bagaimanapun semalam, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, menegur kenyataan Fahmi itu yang menurut beliau memberi gambaran seolah-olah kerajaan mencampuri hal ehwal Parlimen.

Pada 5 Mac lalu, Wan Saiful memohon maaf atas tindakan beliau mengeluarkan kenyataan berbaur sangkaan jahat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat.

Permohonan maaf itu dibuat selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, memberi ruang kepada wakil rakyat daripada Perikatan Nasional (PN) berkenaan untuk memberi penjelasan mengenai kenyataan dibuatnya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada 28 Februari lalu. – BERNAMA

Berita Harian X