Ahad, 10 March 2024 | 5:11pm
Dr Zambry Abdul Kadir (tengah) bergambar kenangan dengan pimpinan pelajar IPTA dan IPTS selepas majlis penutupan program KARISMA di AKEPT Enstek, hari ini. NSTP/Ihsan Mohd Amin Jalil
Dr Zambry Abdul Kadir (tengah) bergambar kenangan dengan pimpinan pelajar IPTA dan IPTS selepas majlis penutupan program KARISMA di AKEPT Enstek, hari ini. NSTP/Ihsan Mohd Amin Jalil

KPT beri tumpuan tangani prasarana kampus usang

NILAI: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberikan tumpuan kepada usaha mengenal pasti kemudahan prasarana di kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara yang memerlukan proses pembaikan serta dinaik taraf.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pihaknya sudah mengarahkan pihak pengurusan universiti, politeknik dan kolej di bawah kementerian itu untuk memberikan kerjasama berkaitan perkara berkenaan.

Beliau berkata, beliau telah melawat satu kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Sarawak beberapa hari lalu dan kepemimpinan pelajar telah menyampaikan maklumat berkaitan keadaan asrama di kampus itu yang kurang memuaskan.

"Keutamaan perlu diberikan kepada usaha membaik pulih khususnya tempat penginapan pelajar kita kerana ada tempat-tempat ini yang langsung tidak dibaik pulih lebih daripada 20 tahun dan keadaan asrama yang usang dan sebagainya.

"Menjadi tanggungjawab universiti, politeknik dan kolej untuk sampaikan maklumat ini, malah saya juga telah mengarahkan pihak berkenaan untuk memberikan keutamaan kepada aspek ini.

"Jangan kita tidak menjadikannya sebagai suatu keutamaan kerana ia membabitkan kepentingan pelajar, jika mereka tidak dapat melalui suasana persekitaran yang selesa di kampus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemukiman Siswa dan Latihan Kepimpinan Muda Kebangsaan (KARISMA) di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, timbalannya Datuk Mustapha Sakmud.

Mengulas mengenai isu bekalan air di kampus IPTA, Zambry berkata, sebelum ini ia banyak berlaku di Sabah, selain di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, namun kerajaan negeri telah menggantikan paip yang lebih besar.

"Pihak universiti telah diminta membuat persiapan awal bagi mengelak sebarang masalah yang bakal dihadapi oleh pelajar seperti mana berlaku di Universiti Malaysia Sabah (UMS), sebelum ini.

"Kita perlu melihat perkara-perkara ini sebagai keutamaan untuk diambil tindakan, sebagai contoh air yang memerlukan tindakan segera kerana ia membabitkan survival pelajar.

"Sekiranya ia tidak dijadikan keutamaan sedangkan kita tahu masalah itu ada di situ, akhirnya ia akan terbiar. Kita perlu ambil langkah luar daripada kebiasaan," katanya.

Pada program berkenaan, Zambry turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM540,000 kepada 27 Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) membabitkan 20 MPP IPTA dan tujuh IPT swasta.

Seramai 100 pemimpin MPP IPTA dan IPTS dari seluruh negara menyertai program berkenaan yang bermula kelmarin, bertujuan mendengar pandangan serta berkongsi maklumat dalam membantu memacu kecemerlangan pelajar.

Berita Harian X