Ahad, 10 March 2024 | 4:02pm
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming. Gambar fail
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming. Gambar fail

'Pulau Pinang mungkin negeri ke-9 guna pakai Akta 672'

IPOH: Pulau Pinang mungkin menjadi negeri ke sembilan menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) selepas Selangor yang secara prinsip sudah menyatakan persetujuan mahu mengguna pakai akta itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata setakat ini tujuh negeri mengguna pakai akta terbabit, selain Selangor yang sedang dalam fasa mengkaji untuk menerima pakai akta itu apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah secara prinsip menyatakan perkenan untuk menerima pakai akta itu, pada satu sesi menghadap.

"Kerajaan Persekutuan kini sedang di tahap perbincangan aktif bersama Selangor serta dan Pinang. Kedua-dua negeri ini jika bersetuju, maka kita ada sembilan negeri yang menerima pakai Akta 672.

"Saya difahamkan, Kerajaan Selangor secara prinsip sudah bersetuju, saya sendiri sudah menghadap Sultan Selangor yang memberi perkenan untuk Selangor menerima Akta 672.

"(Namun) kita sedang menunggu keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK), kertas MMK daripada Kerajaan Selangor untuk kita mulakan rundingan secara terperinci," katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Karnival Komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) @ Rumah Pangsa Jalan Hospital di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Persekitaran Mampan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Saidatu Akhma Hassan; Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Hee Loy Sian dan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman.

Ketika ini, tujuh negeri mengguna pakai Akta 672 iaitu Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Akta itu untuk memastikan keseragaman undang-undang dalam pengawalan dan pengawalseliaan perkara berhubungan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam bagi memastikan pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap, mampan, efektif serta merancakkan ekonomi kitaran.

Sementara itu, Kor Ming berkata, usaha memastikan lebih banyak negeri menerima pakai akta itu akan terus dipertingkatkan termasuk melalui penubuhan Majlis Ekonomi Kitaran Nasional (NCEC) bagi sisa pepejal yang ditubuhkan pada September tahun lalu dan dipengerusikannya selaku Menteri KPKT.

NCEC ditubuh bagi mempercepat agenda peralihan pengurusan sisa pepejal daripada ekonomi linear kepada ekonomi kitaran secara holistik.

Peralihan kepada ekonomi kitaran boleh memanfaatkan sisa, mengoptimumkan kitaran hayat produk dan meningkatkan penggunaan sumber bagi mengurangkan jumlah janaan sisa.

"Kita akan terus mempertingkatkan usaha ini dengan penubuhan NCEC, usaha kita untuk merancakkan ekonomi kitaran di negara kita ini selaras hala tuju ke Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030," katanya.

Pada majlis itu, Kor Ming turut mengumumkan penubuhan pertama Pusat Pandu Lalu Kitar Semula (DTRC) di Rumah Pangsa Jalan Hospital membabitkan lokasi pusat Program Komuniti Sifar Sisa (KOSIS) iaitu hab mini program kesedaran kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan persatuan penduduk setempat yang keseluruhannya membabitkan 17 PPR seluruh negara.

Inisiatif itu usaha kementerian mewujudkan komuniti lebih lestari, berkonsepkan mesra pengguna bertujuan memudahkan komuniti setempat menghantar sisa kitar semula yang sudah diasingkan dari rumah masing-masing.

SW Corp dalam kenyataan pula berkata, sehingga kini, 104 DTRC sudah diwujudkan seluruh negara dengan 74 unit daripadanya terdapat di negeri yang sudah menerima pakai Akta 672, manakala 30 unit terdapat di negeri lain.

Berita Harian X