Ahad, 10 March 2024 | 3:05pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali ditemui pemberita pada Program Jualan Rahmah MADANI di Kinarut, hari ini. - BERNAMA
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali ditemui pemberita pada Program Jualan Rahmah MADANI di Kinarut, hari ini. - BERNAMA

KPDN akan dedah syarikat pembungkusan semula minyak masak bersubsidi terbabit penyelewengan

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mendedahkan senarai syarikat pembungkusan semula minyak masak bersubsidi yang dikenal pasti terbabit dalam penyelewengan.

Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata bermula Oktober lalu, kementeriannya menjalankan audit minyak masak paket bersubsidi sehingga penghujung bulan ini sebelum mengumumkan senarai syarikat terbabit penyelewengan dan ketirisan subsidi barang keperluan itu.

"Kita buat audit sebab walaupun 60 juta paket minyak masak bersubsidi dengan kuota 60,000 tan dijual di pasaran, masih ada isu bekalan tak cukup. Ada beberapa syarikat, termasuk di Sabah, kita akan umumkan kemudian.

"Kita akan batalkan pelantikan sebagai syarikat pembungkusan semula minyak masak paket," katanya ketika ditemui pemberita selepas tinjauan mesra Program Jualan Rahmah MADANI di Padang Kawad Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, di sini hari ini.

Armizan berkata, kementerian juga ingin melakukan penambahbaikan dari segi pengedaran agar minyak masak paket bersubsidi sampai kepada golongan sasar.

"Kita lihat pengedarannya, sebelum ini syarikat pembungkusan semula yang tentukan di mana mereka hantar bekalan, tapi antara penambahbaikan dicadang adalah KPDN dengan kerjasama pelbagai pihak akan tentukan (lokasi bekalan dihantar).

"Kalau pun tak sampai ke tahap peruncit, sekurang-kurangnya (sampai) ke daerah di mana syarikat pembungkusan semula perlu hantar bekalan," katanya menambah KPDN juga akan melihat semula kuota syarikat pembungkusan semula minyak masak yang dilantik.

Langkah bagi menambah baik proses pengedaran minyak masak paket bersubsidi itu, katanya, bagaimanapun masih tetap tertakluk kepada kuota sedia ada yang membabitkan peratusan tertentu syarikat pembungkusan semula dilantik mengikut wilayah.

Beliau memberi contoh di Sabah, daripada keseluruhan syarikat yang dilantik, 90 peratus untuk pengedaran bagi kawasan pantai timur dan baki 10 peratus bagi kawasan pantai barat, manakala tiada syarikat dilantik bagi bahagian utara.

"Terdapat keperluan menambah syarikat pembungkusan semula di pantai barat dan melantik syarikat bagi utara Sabah untuk memastikan bekalan minyak masak paket bersubsidi di dua kawasan terbabit mencukupi.

"Di utara Sabah, ada ramai golongan berpendapatan rendah, tapi tiada langsung syarikat pembungkusan semula minyak masak di sana. Apa yang mengecewakan, walaupun banyak syarikat di pantai timur, kita masih dengar isu kekurangan bekalan, itu yang pelik.

"Jadi secara logiknya, kita fikir kemungkinan berlaku penyeludupan di sempadan kerana timur Sabah berisiko disebabkan dekat dengan sempadan dan juga ada penyelewengan berlaku," katanya.

Armizan menjelaskan, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan ketirisan subsidi bagi barang keperluan itu, antaranya disebabkan aspek penyimpanan minyak masak yang tidak dibezakan.

"Dari segi tangki tidak ada perbezaan. Tangki sama guna bagi proses membotol atau membungkus minyak masak bersubsidi dan minyak masak jualan biasa. Ada juga jual minyak masak bersubsidi kepada industri, bukan dipaket dan dijual kepada peruncit untuk pengguna.

"Malah ada juga ketirisan sehingga minyak masak paket kita dijual di negara jiran," katanya sambil menambah, KPDN akan menambah baik Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS) bagi memantau pengedaran minyak masak paket bersubsidi dengan lebih teliti.

Berita Harian X